Cari @ Amanz

Phablet ialah peranti yang sangat digemari oleh pengguna di benua Asia. Tidak seperti pengguna di benua lain, penduduk Asia memilih peranti dengan saiz skrin besar kerana memberikan nilai yang lebih baik dengan setiap pembelian. Terdapat banyak phablet di pasaran sekarang dengan Note 5 dengan mudah kami katakan adalah peranti terbaik di dalam kelas ini. Lenovo Vibe P1 ialah sebuah phablet kelas pertengahan yang baru sahaja memasuki pasaran tempatan. Ia dilengkapi pengimbas cap jari dan tubuh yang diperbuat daripada logam. Adakah peranti ini mampu bersaing di dalam pasaran phablet yang kini sangat kompetitif?

Spesifikasi

Lenovo Vibe P1
Skrin 5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI)
Pemproses 1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 Gigabyte)
Kamera Utama 13  Megapixel PDAF
Kamera Hadapan 5 Megapixel
Bateri 5000 mAh/ Dengan pengecasan pantas
SIM/Telefoni Dwi Nano SIM/4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1199

Lenovo Vibe P1 ialah sebuah phablet kelas pertengahan yang mula memasuki pasaran tempatan minggu ini. Seperti kebanyakan peranti kelas pertengahan sekarang ia diperksakan oleh pemproses lapan teras Snapdragon 615 (1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz) . Ini meletakkannya di dalam kelas yang sama seperti sebuah Oppo R7S. Seperti R7S, Vibe P1 mempunyai tubuh yang diperbuat daripada logam. Keseluruhan panel belakang diperbuat dari bahan aluminium dan mengingatkan kami kepada sebuah peranti HTC One M7. Spesifikasi lain peranti ini ialah skrin 5.5″ FHD, RAM sebesar 2 Gigabyte serta muatan dalaman sebesar 32 Gigabyte dengan sokongan kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte.

Kemampuan optik ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Perkara yang paling membezakan Vibe P1 berbanding phablet lain di pasaran ialah kapasiti bateri sebesar  5000 mAh yang digunakan. Ini menurut Lenovo membolehkan ia berfungsi selama dua hari walaupun pada penggunaan berat. Peranti ini menyokong rangkaian 4G dan boleh menggunakan dua sim bersaiz Nano. Kedua-dua SIM boleh digunakan serentak dengan kad MikroSD kerana tiada perkongsian slot. Seperkara lain yang kami rasakan menarik mengenai Vibe P1 ialah ia mempunyai pengimbas cap jari terbina pada butang home fizikal.

Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan peranti. Pada bahagian kanan pula terdapat butang khas yang melancarkan mod penjimatan bateri. Apabila suiz diaktifkan skrin hanya akan memaparkan beberapa fungsi utama sahaja seperti melakukan panggilan telefon dan pemesejan. Beberapa fungsi lain boleh dikustomasi mengikut keperluan pengguna. Di dalam mod ini juga hayat penggunaan bateri akan dipaparkan pada skrin utama.

 

Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala manakala slot pengecasan MikroUSB dan pembesar suara terletak pada bahagian bawah. Panel belakang yang diperbuat daripada logam mempunyai rekaan melengkung.Hanya bahagian panel atas Vibe P1 boleh dibuka. Ini bagi mengakses dua slot SIM dan kad MikroSD. Penggunaan sistem tetingkap kecil seperti ini sudah lama tidak kelihatan dan kali terakhir kami lihat pada HTC One S

Jika dibandingkan dengan peranti kontemporari, Vibe P1 adalah sedikit tebal. Ini adalah kerana saiz bateri yang digunakan. Sungguhpun begitu gabungan panel belakang yang melentur dan sisi logam membuatkannya selesa digenggam di dalam tangan.

Vibe UI

Antaramuka Vibe UI digunakan dan ianya mungkin kelemahan ketara peranti ini. Sejak kebelakangan jni kami merasakan kesemua peranti Android sepatutnya menggunakan Android Vanilla. Antaramuka pihak ketika seperti Vibe UI pada hemat kami tidak mempunyai rekaan yang menarik dan jika dibandingkan dengan rekaan Material yang digunakan oleh Google. Rekaan ikon kami rasakan kurang menarik. Vibe P1 masih menggunakan Android 5.1 dan ianya antara peranti yang disahkan menerima kemas kini ke Marshmallow di masa hadapan.

Sebuah fungsi yang kami rasakan unik pada Vibe UI ialah pilihan untuk menggunakan talam aplikasi ataupun tidak. Umum diketahui biasanya peranti dari China tidak dilengkapi talam aplikasi. Pada Vibe P1 pengguna diberikan kemampuan untuk memilih. Fungsi ini boleh diaktifkan ataupun tidak terus dari skrin tetapan peranti. Fungsi penukaran tema juga turut disertakan bagi mereka yang mahu mengubah rekaan antaramuka.

Kesimpulan

Lenovo Vibe P1 mungkin sebuah peranti kelas pertengahan tetapi ia mempunyai kualiti binaan yang baik serta pengimbas cap jari terbina. Kebanyakan peranti dengan dua ciri ini biasanya dijual pada harga yang jauh lebih mahal. Yang membuatkan Vibe P1 unik berbanding berpuluh phablet di pasaran sekarang ialah kapasiti baterinya yang amat besar. Ianya hampir dua kali ganda saiz bateri yang digunakan pada Galaxy Note 5. Kepada mereka yang tidak gemar membawa power bank, bateri 5000 mAh Vibe P1 akan memastikan peranti pasti dapat bertahan sepanjang hari sebelum perlu dicas semula. Pada waktu yang sama Vibe P1 turut boleh menjadi sebuah power bank yang mengecas peranti lain sekiranya perlu. Dengan harga jualan hanya RM1199 sebuah, ianya menawarkan pakej yang menarik bagi mereka yang enggan berbelanja lebih untuk memiliki sebuah peranti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd