Apple mempunyai iPhone 6S dan iPhone 6S Plus. Samsung mempunyai S6 Edge dan S6 Edge+ manakala Sony pula mempunyai Z5 dan Z5 Compact. Lenovo pula mempunyai Vibe P1 dan P1m. Namun tidak seperti kesemua peranti yang kami senaraikan tadi, spesifikasi dua peranti Lenovo ini amat berbeza dan begitu juga dengan rekaan. Lenovo Vibe P1m ialah peranti kelas permulaan yang diperkasakan oleh pemproses empat teras. Masih adakah ruang di pasaran tempatan untuk peranti seperti ini?
Spesifikasi & Rekaan
Lenovo Vibe P1m | |
---|---|
Skrin | 5.0″ IPS LCD 720P (294 PPI) |
Pemproses | 1.0 GHZ Empat Teras MediaTek MT6735P |
RAM | 2 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 32 Gigabyte) |
Kamera Utama | 8 Megapixel |
Muatan Hadapan | 5 Megapixel |
Bateri | 4000 mAh/ Dengan pengecasan pantas |
SIM/Telefoni | Dwi Makro SIM/4G |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | RM 649 |
JIka Vibe P1 ialah peranti kelas pertengahan dengan ciri-ciri peranti utama, P1m ialah peranti kelas permulaan yang dijual pada harga mampu milik. Persamaan yang wujud diantara dua peranti ini selain nama yang hampir serupa ialah kapasiti bateri yang besar serta sokongan dwi-SIM. Tidak diketahui mengapa nama P1m digunakan sedangkan perbezaannya dengan P1 adalah amat jauh sama sekali.
Skrin P1m hanya sebesar 5.0″ IPS LCD dengan resolusi 720P. Ia diperkasakan pemproses 1 GHz empat teras MediaTek MT6735P, RAM sebesar 2 Gigabyte dan muatan dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 32 Gigabyte). Kemampuan optik juga lebih kecil berbanding P1 dengan kamera belakang 8 Megapixel dan kamera hadapan 5 Megapixel. Bateri sebesar 4000 mAh yang digunakan boleh ditanggalkan tidak seperti pada P1. Tiada sokongan pengimbas cap jari ataupun NFC pada peranti ini. Binaan tubuh pula didominasi bahan plastik seperti yang digunakan pada panel belakang.
Pada bahagian hadapan terdapat tiga butang navigasi kapasitif. Butang home pada bahagian tengah dihimpit butang multi tasking pada sebelah kiri dan butang back pada sebelah kanan. Ketiga-tiga butang navigasi pada peranti ini tidak berlampu. Pada sebelah kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada plastik. Pada sebelah kiri pula terdapat suis khas untuk mengaktifkan mod penjimatan bateri. Jack fon kepala dan pengecas MikroUSB terletak pada bahagian atas peranti. Lokasi port pengecasan ini adalah agak aneh kerana biasanya ia terletak di bahagian bawah.
Terdapat sebuah pembesar suara mono pada bahagian bawah. Ya hanya sebuah pembesar suara mono walaupun terdapat dua kekisi pembesar suara. Pembesar suara hanya terletak di sebelah kiri manakala kekisi suara sebelah hanya hanyalah sekadar hiasan.Slot untuk dua kad SIM mikro dan kad mikroSD boleh diakses selepas panel belakang dibuka. Tiada perkongsian slot SIM dengan slot penambahan kad mikroSD disini.
Dengan saiz skrin hanya 5.0″, kesemua elemen antaramuka peranti ini sangat mudah diakses dengan menggunakan sebelah tangan. Secara keseluruhan rekaan peranti ini mungkin agak “retro” tetapi inilah yang perlu dilakukan pengeluar bagi mengurangkan harga jualan. Tubuh peranti agak tebal kerana penggunaan bateri 4000 mAh namun ketebalan ini tidak menukarkannya untuk dipegang. Tangan masih terasa selesa apabila menggenggam P1m kerana kemasan sisi plastik peranti ini tidak tajam.
Vibe UI
Android 5.1 digunakan dengan antaramuka Vibe UI. Jika anda mahukan Marshmallow, P1m tidak termasuk di dalam senarai peranti yang akan menerimanya. Aneh sekali tidak seperti Vibe UI pada P1, fungsi menggunakan talam aplikasi tidak pula wujud pada P1m. Kesemua aplikasi yang dimuat turun akan dipaparkan pada skrin utama.
Kepada yang gemar melakukan kustomasi, terdapat beberapa pilihan tema terbina boleh anda pilih. Fungsi menarik yang ada pada P1m ialah kemampuannya berubah menjadi sebuah power bank dan mengecas peranti lain. Ini mungkin fungsi yang diperlukan bagi membantu teman yang hampir kehabisan bateri.
Apabila suis mod penjimatan bateri pada sebelah kiri peranti diaktifkan, antaramuka yang lebih minimalis akan digunakan. Antaramuka ini menggunakan elemen warna hitam dan putih sahaja bagi memanjangkan hayat bateri. Paparan masa penggunaan peranti yang tinggal akan dapat dilihat dari antaramuka ini dan begitu juga pintasan kepada beberapa fungsi asas peranti.
Kesimpulan
Vibe P1m bukanlah versi mini sebuah P1 walaupun menggunakan nama yang hampir serupa. Sebaliknya perbezaan spesifikasi dua peranti Lenovo terkini di pasaran ini amatlah jauh. Kemampuan memproses dan optik adalah dua perbezaan paling jelas kelihatan. Namun seperti P1, kekuatan P1m terletak pada kapasiti bateri yang besar. Ia mampu digunakan sehingga dua hari sebelum perlu dicas menurut Lenovo. Ia juga boleh mengecas peranti lain sekiranya anda mahu membantu teman yang hampir kehabisan bateri pada peranti.
Perkara positif yang boleh kami katakan mengenai P1m ialah ianya selesa dan mudah digunakan. Peranti berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah sela masa yang kami sedari. Saiz skrin yang kecil juga memastikan ia boleh digunakan sebelah tangan dengan mudah.
Kekurangan yang kami sedari pula ialah dari segi bahan binaan. Tubuh yang hampir keseluruhannya plastik tidak terasa premium. Mungkin kami sudah terlalu biasa dengan peranti logam sejak kebelakangan ini dan peranti plastik tidak memberikan kepuasan ketika dipegang. Rekaan P1m juga tidak seteguh P1 yang diperbuat daripada logam.
Namun harus diingat Lenovo Vibe P1m ialah sebuah peranti kelas permulaan dengan harga mampu milik RM 649. Apabila semua diambil kira kami tidak boleh terlalu kritikal dengan kualiti bahan binaan yang digunakan. Kami berharap dapat memberikan ulasan penuh peranti ini di masa hadapan. Teruskan membaca Amanz untuk ulasan ini di masa akan datang.