Surface Pro 4 memasuki pasaran tempatan minggu lalu dan sekali cuba meyakinkan pengguna bahawa ianya cukup bagus untuk menggantikan komputer riba anda. Dari segi rekaan tidak banyak perubahan dilakukan. Ia masih menggunakan tubuh kompak diperbuat daripada aloi magnesium dan sistem tetongkat boleh laras yang memudahkan ia digunakan walaupun di atas riba. Perubahan paling ketara dilakukan pada komponen dalaman dan rekaan papan kekunci. Setelah menjalani tiga proses lelaran, adakah akhirnya Surface Pro 4 layak menggantikan komputer riba yang anda gunakan sekarang?
Spesifikasi
Microsoft Surface Pro 4 | |
---|---|
Skrin | 12.3″ PixelSense (2736×1824 pixel) |
Pemproses | Generasi ke-6 Intel Core M3, Core i5 & Core i7 |
RAM | 4,8 &16 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 128, 256 & 512 Gigabyte |
Kamera Utama | 8 Megapixel |
Muatan Hadapan | 5 Megapixel (Windows Hello) |
Bateri | 5087 mAh |
SIM/Telefoni | Tiada |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | Bermula dari RM3999 |
Seperti yang kami katakan tadi perubahan lebih banyak dilakukan pada bahagian dalaman. Perubahan luaran tidak berapa ketara tetapi sedikit sebanyak memperbaiki keselesaan penggunaan komputer tablet ini.
Pertama sekali skrin kali ini dipertingkat ke 12.3″ berbanding 12″ sebelumnya. Ini dilakukan dengan mengecilkan saiz bazel pada sisi peranti. Resolusi skrin turut meningkat kepada 2736 x1824 pixel. NIsbah skrin adalah 3:2 sama seperti Pro 3 dan iPad. Terdapat beberapa pilihan pemproses iaitu Intel Core M3, Core i5 dan Core i7 yang kesemuanya dari generasi ke-enam. Pilihan saiz RAM pula adalah 4, 8 dan 16 Gigabyte. Akhir sekali pilihan muatan dalaman adalah 128, 256 512 Gigabyte. Bateri sebesar 5087 mAh digunakan untuk mengusai peranti dan ini menurut Microsoft dapat memberikan hayat penggunaan sehingga 9 jam.
Kemampuan optik pula ialah kamera belakang sebesar 8 Megapixel dan kamera hadapan sebesar 5 Megapixel. Kamera hadapan menggunakan teknologi Windows Hello yang membolehkan peranti dinyakunci dengan imbasan wajah. Menarik sekali kamera hadapan turut dilengkapi sistem infra merah yang membolehkan Windows Hello berfungsi di dalam gelap. Microsoft turut menyertakan sebuah Surface Pen dengan setiap pembelian. Mata stylus berbateri ini menyokong 1024 tahap pengesanan.Tidak seperti S Pen dan Apple Pencil, Surface Pen unik kerana dilengkapi sebuah pemadan digital pada bahagian belakangnya. Microsoft turut menjual empat mata pena berbeza saiz untuk Surface Pen edisi terkini ini.
Rekaan
Keseluruhan tubuh Surface Pro 4 masih lagi diperbuat daripada logam aloi magnesium yang sama. Dari segi bentuk memang tidak ada perbezaan dari segi saiz dengan Pro 3. Kami menyedari hanya beberapa perubahan pada kedudukan butang kuasa dan suara. Kedua-dua butang ini terletak di atas peranti. Sebelum ini butang suara terletak di sebelah kiri. Lokasi butang suara diubah bagi membolehkan Surface Pen dilekatkan pada bahagian sisi peranti apabila tidak digunakan. Ianya melekap secara magnetik dan magnet yang digunakan cukup kuat untuk memastikan ia tidak terjatuh walaupun peranti digoncang. Sekiranya anda mahu Surface Pen turut boleh dilekatkan ke bahagian kanan. Turut terdapat pada sisi kiri peranti ialah satu jack fon kepala 3.5mm.
Pada bahagian kanan terdapat satu port USB 3.0, satu port Mini Display dan port pengecasan. Di bahagian bawah terdapat dok sambungan magnetik untuk Type Cover. Pada bahagian atas terdapat ruang udara untuk sistem penyejukan hibrid Pro 4. Dua pembesar suara stereo terletak di bahagian hadapan yang menyokong sistem audio Dolby. Butang Windows kapasitif yang dahulunya terletak di sebelah kanan (ataupun bawah sekiranya di dalam kedudukan menegak) tidak lagi disertakan.
Tetongkat boleh laras terletak di bahagian belakang. Seperti pada Pro 3, engsel tetongkat ini boleh ditetapkan mengikut kemahuan pengguna. Logo Microsoft yang diperbuat daripada logam menggantikan perkataan Surface pada permukaan tetongkat ini sekarang.
Type Cover,Pad Sesentuh Dan Surface Pen
Papan kekunci Type Cover kini mempunyai kekunci dari jenis chicklet. Antara perkara yang kami kurang gemari pada Type Cover sebelum ini ialah kekunci yang terlalu rapat diantara satu sama lain. Kami sudah biasa menggunakan papan kekunci chicklet pada komputer riba dan rekaan baru Type Cover ini sangat kami gemari. Menaip dapat dilakukan dengan lebih pantas dan jitu. Timbal balas yang diberikan oleh kekunci juga terasa lebih teguh dan tidak terasa seperti terlalu plastik seperti model terdahulu. Sokongan lampu masih lagi disertakan bagi memudahkan proses menaip di waktu malam.
Pad sesentuh juga tidak ketinggalan diberikan penambahbaikan. Permukaannya diperbuat daripada kaca dan terasa lebih licin apabila digunakan. Saiznya juga diubah dan kali ini lebih lebar. Kami sedari pad sesentuh ini juga terasa lebih jitu dan lancar untuk digunakan.
Akhir sekali ialah Surface Pen baharu yang kini boleh dilekatkan secara magnetik pada tubuh Pro 4. Salah satu sisi stylus ini adalah rata bagi memudahkan ia bersambung dengan mudah. Dengan 1024 tahap keperincian, Surface Pen ini empat kali ganda lebih sensitif berbanding model sebelum ini. Butang khas untuk melakukan klik kanannya juga jauh lebih besar. Pada bahagian belakang masih terdapat butang untuk melancarkan One Note dengan pantas. Kini butang yang sama apabila ditekan akan mengaktifkan Cortana. Akhir sekali stylus ini turut mempunyai pemadan digital untuk menjadikan proses lakaran lebih semula jadi. Di Bawah ialah contoh lakaran wajah kami yang dilakukan oleh seorang teman media.
Kesimpulan
Dengan lelaran terkini ini, Surface Pro 4 memperbaiki kesemua kelemahan yang ada pada model sebelum ini. Sebagai contoh dengan tiada lagi butang Windows kapasitif, masalah tertekan butang sehingga menutup aplikasi tidak lagi akan berlaku. Penggunaan sistem magnetik untuk Surface Pen juga pembaharuan yang baik kerana sistem sebelum ini (stylus disangkut pada Type Cover) adalah tidak mesra pengguna.
Bercakap tentang Type Cover, papan kekunci berbentuk chicklet mempermudahkan proses menaip dan pad sesentuh kaca pula mempercepatkan tatalan skrin. Pelbagai penambahbaikan ini menjadikan Surface Pro 4 tablet yang paling berkuasa dam sesuai digunakan untuk mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat seperti kami.
Perkara negatif yang kami rasakan wujud ialah ia masih hanya mempunyai satu port USB 3.0 dan Type Cover tidak disertakan sekali dengan setiap pembelian. Sebaliknya aksesori ini perlu dibeli sendiri pada harga RM539 sebuah.
Dengan harga jualan bermula dari RM3999 untuk model asas dan RM 9799 untuk model berspesifkasi paling tinggi. Surface Pro 4 bukanlah sebuah peranti mampu milik. Tetapi harga yang tinggi adalah tidak dapat dielakkan apabila kualiti perlu diutamakan berbanding kuantiti. Kami tidak sabar untuk mengulas komputer tablet ini di masa hadapan. Ianya kini di dalam senarai peranti idaman yang kami mahukan.