Cari @ Amanz

Acara keusahawanan serantau ASEAN iaitu 1AES (ASEAN Entrepreneur Summit)  yang berlangsung pada keseluruhan minggu lepas baru sahaja selesai dengan acara penutupnya majlis Anugerah Rice Bowl Startup Awards. Anugerah ini diberikan bagi mengiktiraf startup terbaik yang terdiri dari startup yang baru memulakan perniagaan.

Finalis startup yang tercalon juga telah ditemukan dengan pelabur-pelabur lain sepanjang tempoh minggu 1AES bagi mendapatkan pelaburan. Menurut Ashran Dato Ghazi pengerusi anugerah ini, jumlah pelaburan terkumpul yang akan dilaburkan oleh pelabur yang telah bertemu dengan finalis-finalis adalah sebanyak USD 82 Juta (~ RM 351 Juta). Ini adalah salah satu angka yang cukup besar dan semestinya dapat memacu pertumbuhan bidang teknologi serantau ASEAN.

Dari 376 startup yang telah menyertai anugerah ini, sebanyak 33 startup tersenarai pendek untuk 11 kategori, dengan dua kategori daripadanya ditaja oleh Maybank dan Universiti Malaya. Berikut merupakan kesemua pemenang anugerah yang berprestij ini.

Retail Startup of the Year

Kategori ini mempertandingan startup yang aktif dalam jual-beli dan menunjukkan prestasi dan keuntungan didalam perniagaan tersebut. Tiga startup yang tersenarai pendek adalah DIY Printing Supply (Malaysia), Poundit (Filipina), dan ShopBack (Singapura).

Ricebowl Awards -IMG_8099

Poundit dari Filipina telahpun memenangi anugerah ini. Ia merupakan laman jual beli yang memfokuskan barangan elektronik malah turut menyediakan koleksi tertentu, serta kandungan berkenaan produk yang memudahkan pembeli mengetahui lebih maklumat berkenaan sesuatu produk.

Media Startup of the Year

Semakin hari semakin banyak saluran media yang wujud malahan, terdapat startup yang bergiat cergas dalam arena media, mencipta aplikasi, permainan, laman sosial, penghasilan kandungan video dan sebagainya. Startup Carsome (Malaysia), FoodAdvisor.my (Malaysia), dan Mizzima Media (Myanmar) telah tercalon untuk kategori ini.

Ricebowl Awards -IMG_8100

Untuk kategori ini, anugeah Rice Bowl Media Startup of The Year dimenangi oleh FoodAdvisor. Laman web ini adalah perkongsian informasi berkenaan lokasi dan makanan yang dicadangkan diseluruh negara. Laman web ini juga berupaya untuk memberikan hasil carian mengikut kategori dan jenis makanan. Seperti contoh jika anda mencari Nasi Lemak di Petaling Jaya, hasil carian tersebut akan memberikan keputusan ulasan berkenaan Nasi Lemak di kawasan tersebut.

Digital/Online Startup of the Year

Berbeza dengan kategori Media Startup of the Year, kategori ini lebih memfokuskan kepada startup yang memperoleh majoriti keuntungan syarikat secara atas-talian ataupun menerusi aplikasi mudah-alih. Tiga Startup tersebut adalah Eatigo (Thailand), Compare Asia Group (Singapura), dan MyDoc.my (Malaysia).

Ricebowl Awards -IMG_8106

Pemenang bagi kategori ini adalah Eatigo dari Thailand. Mereka menawarkan tempahan meja makan dengan algoritma khusus yang membantu memberikan pemilik restoran tempahan yang tinggi apabila mereka memerlukannya. Tempahan tersebut juga wujud dengan diskaun, sekaligus menjadikan tawaran tempahan meja makan lebih menggoda. Sehingga kini lebih dari 350 pemilik restoran telah menggunakan perkhidmatan ini.

Social Enterprise Startup of the Year

Salah satu cabang dalam bidang startup adalah Social Enterprise, yang mana memberikan penekanan kepada kebajikan dan taraf hidup yang boleh dihasilkan dari startup tersebut. Tiga startup yang disenarai pendek adalah Garbage Clinical Insurance (Indonesia),Kapital Boost (Singapura), dan Penampang Renewable Energy (Malaysia).

Ricebowl Awards -IMG_8146

Bagi kategori ini, KapitalBoost dari Singapura telahpun memenangi kategori ini, dan mereka hadir dengan kelainan pada platform pendanaan sumber terbuka mereka. Mereka memperkenalkan pendanaan sumber terbuka yang patuh syariah, dimana pemberi dana akan membelikan aset untuk syarikat yang memohon dana, sedikit berbeza dari pemberian pinjaman. Syarikat yang memohon dana tersebut perlu membeli aset yang telah dibelikan oleh pemberi dana pada masa akan datang, dengan sedikit keuntungan diberikan pada pemberi dana.

Tech Startup of the Year

Tiga startup yang berjaya disenarai-pendek adalah Star Ticket (Myanmar), StockRadars (Thailand), dan juga Unified Inbox (Singapura) bagi kategori yang agak sukar ini. Untuk kategori ini, startup yang disenarai pendek adalah startup yang mencipta sesuatu yang baru didalam bidang teknologi, dan perlu membuktikan teknologi yang dihasilkan adalah milik mereka, bukan sekadar menggunakan teknologi yang lain.

Ricebowl Awards -IMG_8109

Star Ticket dari Myanmar telahpun memenangi anugerah ini, dimana mereka telah membangunkan sistem membolehkan pengguna membeli tiket bas secara atas talian. Sistem yang telah dibangunkan dari tahun 2014 ini telahpun bermula operasinya sejak tahun ini, dan dalam lingkungan tahun pertama mereka telah berjaya menjual 36,000 tiket, satu angka yang agak memberangsangkan bagi startup yang baru beroperasi.

Product Startup of the Year

Tiga startup yang disenaraipendek kerana produk fizikal yang menarik dan mempunyai potensi pemasaran yang tinggi adalah Openkod (Malaysia), QLIPP (Singapura), dan Sustainable Alternative Lighting (SALT) (Filipina).

Ricebowl Awards -IMG_8116

Startup yang mempunyai produk yang menarik bahkan telahpun mula menempa nama di persada antarabangsa adalah Qlipp. Startup ini telah mencipta pengesan yang dipasang pada raket tenis. Pengesan yang berkomunikasi dengan telefon pintar secara Bluetooth ini mampu mengesan kekuatan libasan pemain dan maklumat sebegini bertujuan untuk memantau prestasi pemain tenis dan memberikan maklumbalas mengenainya.

Service Startup of the Year

Selain dari startup yang mencipta produk fizikal dan juga aplikasi yang menarik, terdapat juga anugerah untuk startup yang lebih memfokuskan kepada penawaran perkhidmatan. Mereka yang disenaraipendek adalah MumRadar (Singapura), NeonRunner (Malaysia), dan SETSCope (Singapura).

Ricebowl Awards -IMG_8124

Jika anda tinggal disekitar Kuala Lumpur, anda mungkin pernah melihat pasukan penghantar NeonRunner yang juga menyediakan perkhidmatan pekerja rencam (Concierge-style). Mereka menyediakan perkhidmatan ini pada harga yang mampu milik, dan juga pantas. Sehingga kini mereka mempunyai 150 penghantar, dan lebih dari 100 pekedai menggunakan perkhidmatan mereka.

Innovative Go-To-Market Startup of the Year

Bagi kategori ini, startup yang disenarai-pendek adalah startup yang baru dilancarkan dan mendapat sambutan pengguna yang sangat menggalakkan. Mereka adalah Gamurai Tech (Singapura), GetLinks (Thailand), dan SkolaFund (Singapura).

Ricebowl Awards -IMG_8130

GetLinks telah hadir dengan solusi yang memudahkan pencarian kerja dimana kesemua proses tersebut dapat dilakukan dengan lebih pantas. Malah rekaan laman web mereka juga bukan seperti laman pencarian kerja yang popular, sekaligus memberikan kelainan dan keunikan dalam perkhidmatan mereka dan memenangi kategori ini.

Woman in Business Startup of the Year

woman business

Anugerah ini diwujudkan bagi meraikan pengasas wanita ataupun wanita yang berpangkat tinggi serta mempunyai tanggungjawab yang besar dalam startup mereka. Mereka adalah Rachel De Villa – Cropital (Phillipines), Silvia Wetherell – MumRadar (Singapore), dan juga Aisa A. Mijeno – Sustainable Alternative Lighting (SALT) (Phillipines)

Wanita yang telah memenangi anugerah ini adalah Silvia Wetherell dari Singapura, yang mengasaskan MumRadar. MumRadar merupakan satu projek yang membantu ibu dalam mencari ruangan yang sesuai untuk ibu, seperti bilik menyusu, ruang menukar lampin, taman permainan dan kedai yang sesuai serta selamat dengan kanak-kanak dan pelbagai lagi.

 

FinTech Business Startup of the Year (Ditaja oleh Maybank)

Bagi kategori ini, startup yang mencipta sesuatu yang baru berkaitan teknologi kewangan akan berentap untuk anugerah yang ditaja oleh Maybank. Mereka adalah Funding Societies (Singapura),Piggipo (Thailand), dan juga Qwikwire (Filipina).

Ricebowl Awards -IMG_8134

Jika anda biasa melakukan pembayaran antara negara, terkadang proses pembayaran dan penghantaran bil tersebut adalah agak melecehkan. Qwikwire yang berasal dari Filipina telahpun memenangi anugerah ini, dimana mereka telah hadir dengan solusi bil dan pembayaran antara negara dengan mudah malah hadir dengan pelbagai pilihan pembayaran, termasuklah menggunakan Bitcoin.

University Startup of the Year (Ditaja University Malaya)

Sehingga kini, terdapat banyak usaha yang dilakukan oleh institusi pendidikan dalam memupuk sikap keusahawanan dikalangan pelajar. Tiga startup yang disenarai-pendek adalah Flexilicate (Malaysia), Linkage Restaurant (Myanmar) dan juga Nanobiotek Indonesia (Indonesia).

Ricebowl Awards -IMG_8139

Flexilicate merupakan startup telah memenang anugerah ini, dimana mereka mencipta kabel fiber yang dikhususkan untuk penggunaan didalam bidang telekomunikasi, pengesanan pelbagai perkara seperti penyakit dan virus serta mampu dihasilkan tanpa memakan kos yang tinggi.

Golden Rice Bowl / Best Startup of the Year

Kesemua 33 startup yang berentap sebagai finalis pada setiap kategori ini juga layak memenangi anugerah utama iaitu Golden Rice Bowl. Pemenangnya jatuh kepada NeonRunner, kerana telah hadir dengan perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama untuk tugas-tugas rencam dan ia sedikit sebanyak membantu industri perkhidmatan.

Ricebowl Awards -IMG_8166

Pihak Rice Bowl Startup Awards juga mempunyai perancangan  untuk meneruskan anugerah ini pada masa akan datang bagi mengiktiraf dan menghargai startup yang telah memacu industri serantau ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd