Jualan Tambah-Nilai Prabayar Kini Kembali Pada Harga Asal Seperti Sebelum GST

Jualan Tambah-Nilai Prabayar Kini Kembali Pada Harga Asal Seperti Sebelum GST

Diterbitkan pada Jan 1, 2016 oleh .

Bermula daripada hari ini, prabayar yang dijual di Malaysia tidak lagi akan menyertakan tambahan caj 6% pada harga jualan seperti pada tahun lepas, sebaliknya dijual pada harga asal tanpa penambahan GST.

Ini bermakna, sebagai contoh, sekiranya anda ingin menambah-nilai RM10, maka anda boleh membeli kredit tambah-nilai pada harga sama RM10, dan bukannya RM10.60 seperti sebelum ini.

Prabayar GST

Ketika menambah-nilai, anda akan menerima kredit yang telah ditolak dengan GST. Sebagai contoh, jika anda menambah-nilai RM10, maka anda akan menerima RM9.43 dalam akaun anda, dan nilai GST sebanyak RM0.57 sedia dipotong ketika proses tambah-nilai.

Walaubagaimanapun, kerajaan mengatakan untuk tempoh sepanjang tahun ini, pengguna prabayar akan tertakluk kepada rebat GST. Ini bermakna, nilai GST yang dipotong akan dikembalikan kepada akaun anda. Sebagai contoh, jika anda menambah nilai RM10, maka anda akan menerima RM9.43 dalam akaun, dan RM0.57 dikreditkan sebagai rebat.

Pihak SKMM mengatakan pengguna akan menerimanya serta-merta, tetapi pada masa yang sama turut mengatakan syarikat telekomunikasi diberikan tempoh sehingga 24 jam untuk mengembalikan rebat berkenaan.

Ini bermakna, anda akan menerima nilai yang ditolak berkenaan dalam tempoh kurang 24 jam.

Secara kasarnya, pengguna prabayar akan menerima penuh nilai tambah-nilai mereka. Sebagai contoh, untuk tambah-nilai RM10, anda akan menerima nilai penuh RM10 kembali ke akaun anda.

Rebat GST hanya ditawarkan untuk pengguna prabayar sahaja, sementara pengguna pascabayar akan dikenakan caj GST seperti biasa pada bil mereka.

Pihak SKMM mengatakan pengguna boleh membuat aduan berkaitan proses rebat ini jika ia tidak berlaku dengan membuat panggilan kepada 1-800-188-030.


TIPS & ULASAN