Cari @ Amanz

Jika anda peminat siri permainan Final Fantasy, ini mungkin salah satu berita yang anda nantikan. Selain dari siri ketujuh mereka iaitu Final Fantasy VII yang sedang diberi sentuhan baru untuk versi PlayStation 4, siri kesembilan mereka iaitu Final Fantasy IX bakal hadir untuk platform PC dan juga iOS serta Android.

Square Enix telah menerbitkan halaman promosi yang berkongsi mengenai Final Fantasy IX untuk kedua-dua platform ini. Tiada sebarang tarikh dinyatakan namun dikatakan ia mungkin akan dilancarkan sekitar tahun ini. Antara fungsi baru yang diperkenalkan termasuklah kualiti grafik yang dipertingkatkan, fungsi Auto-save, dan juga paparan antaramuka sewaktu pertempuran yang tampak berlainan.

Salah satu perkara yang mungkin kurang menyenangkan adalah dengan Final Fantasy IX menerima sentuhan baru untuk platform masa kini, tiada sebarang berita kedengaran untuk siri kelapan iaitu Final Fantasy VIII. Jika anda peminat Squall Leonhart dan juga Rinoa Heartilly, tidak diketahui adakah Square Enix akan melakukannya untuk siri tersebut. Apapun bagi peminat watak Zidane Tribal dan Princess Garnet, kini mungkin anda perlu menambah permainan ini kedalam senarai permainan yang harus dimiliki pada tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd