Cari @ Amanz

Bagi kebanyakkan ibu bapa, salah satu perkara yang sukar untuk diketahui adalah mengapa bayi anda menangis. Untuk mengatasinya, kini sebuah aplikasi khusus untuknya dibangunkan oleh pengkaji di National Taiwan University Hospital Yunlin – membolehkan aplikasi ini membandingkan dan memberitahu akan apakah sebabnya anak kecil anda menangis.

Untuk membangunkan aplikasi ini sendiri, sebanyak lebih 200,000 bunyi tangisan bayi telah dikumpulkan daripada lebih kurang 100 bayi berbeza. Ia kemudian dimuat-naik ke sebuah pangkalan data atas-talian, dan analisa berkaitan frekuensi tangisan telah dilakukan.

Bayi Menangis

Daripada aplikasi berkenaan, pengguna akan dikehendaki merakamkan tangisan bayi selama lebih kurang 15 saat, dan seterusnya aplikasi berkenaan akan memperlihatkan apakah sebabnya bayi anda menangis – sama ada kerana lapar, kesakitan, mengantuk, ataupun kerana lampin basah.

Aplikasi ini dikatakan menawarkan kejituan sehingga 92% untuk bayi bawah dua tahun, dan kejituannya menurun dari bulan ke bulan. Aplikasi ini hanya sesuai untuk bayi bawah enam bulan sahaja, kerana selepas tempoh tersebut, bayi telah lebih menyesuaikan diri mereka kepada persekitaran.

Beberapa ibu bapa di Taiwan telah mula menggunakan aplikasi ini dan mengatakan ia sangat membantu mereka. Aplikasi dinamakan sebagai Infant Cries Translator ditawarkan untuk Android dan iOS. Pencarian kami untuk aplikasi berkenaan tidak menjumpainya – berkemungkinan besar ia masih tidak diterbitkan untuk pasaran global lagi buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd