Setiap tahun World Design Ranking akan menghasilkan carta kedudukan setiap negara di dalam dunia rekaan. Tahun 2015 sudah berakhir dan carta untuk tahun tersebut akhirnya diperlihatkan. Malaysia meningkat empat anak tangga ke tempat ke-38 berbanding ke-42 tahun lalu. Amerika Syarikat masih lagi utuh di tangga teratas dan Hong Kong adalah negara Asia yang berkedudukan tertinggi di tempat ketiga. Di rantau Asia Tenggara pula, Singapura adalah berada di kedudukan tertinggi iaitu di tangga ke-14. Ini adalah peningkatan dari tangga ke-20 tahun lalu.
Kedudukan setiap negara di dalam carta World Design Ranking ditentukan oleh jumlah anugerah peringkat antarabangsa yang diterima oleh pereka dari negara-negara yang disenaraikan. Ekonomi negara mungkin kurang memberangsangkan pada tahun 2015, tetapi kemampuan menghasilkan rekaan industri negara masih menunjukkan peningkatan. Syabas kepada pereka negara yang berjaya mengharumkan nama negara dan memperbaiki kedudukan di mata dunia.