Carian
Lenovo Dan Razer Memperlihatkan Beberapa Produk Memfokuskan Permainan Video
January 5, 2016 Aman

Lenovo dan Razer telah mengumumkan kerjasama tidak lama sebelum ini, dan hari ini, bersempena dengan CES 2016, kedua-dua pihak berkenaan mengambil peluang untuk memperlihatkan beberapa produk yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Lenovo IdeaCentre Y900 RE

Peranti pertama yang diperlihatkan adalah Lenovo Ideacentre Y900 RE (Razer Edition), yang mana merupakan sebuah desktop berasaskan kepada cip pemprosesan Intel generasi ke-6, dan dilengkapi dengan dwi-grafik NVIDIA GTX970. Desktop memfokuskan kepada permainan ini turut hadir dengan pilihan memori sehingga 32GB RAM. Bersempena dengan kerjasama pihak Razer, desktop ini juga akan dipasarkan bersama-sama aksesori seperti papan kekunci dan tetikus daripada Razer, selain turut dilengkapi dengan rekaan yang memfokuskan permainan video – serta paparan cahaya Razer Chrome. Komputer desktop ini akan dipasarkan bermula bulan Jun 2016 ini pada harga bermula $2299 (~RM9982).

Lenovo Y27g RE

Melengkapkan pengenalan desktop adalah sebuah monitor memfokuskan permainan daripada Lenovo, iaitu Lenovo Y27g RE. Ia membawakan skrin melengkung bersaiz 27-inci, dan menawarkan resolusi 1920×1080 pixel pada kadar 144Hz. Pihak Lenovo turut melengkapkan sokongan NVIDIA G-Sync pada monitor ini, dan ia turut hadir dengan sehingga 4-port USB 3. Seperti desktop, monitor ini juga akan dipasarkan bermula bulan Jun 2016 ini, pada harga bermula $599.

Lenovo Ideapad 900

Disamping komputer desktop, pihak Lenovo turut memperkenalkan komputer riba memfokuskan permainan dinamakan sebagai Lenovo Ideapad Y900, hadir dengan skrin bersaiz 17.3-inci, dan rekaan yang sedikit tebal – lebih kurang seperti komputer riba permainan lain di pasaran.

Komputer riba ini turut dilengkapi cip pemprosesan Intel Skylake, memori sehingga 64GB RAM, dan dijana menggunakan kad grafik NVIDIA GTX 980M sehingga 8GB RAM.

Komen