Samsung Galaxy TabPro S Dilancarkan – Komputer Tablet Windows 10 2-Dalam-1

Samsung Galaxy TabPro S Dilancarkan – Komputer Tablet Windows 10 2-Dalam-1

Diterbitkan pada Jan 6, 2016 oleh .

Komputer tablet 2 dalam 1 ialah peranti yang melonjak popular pada tahun 2015. Jualan komputer tablet keluarga Surface Pro mengancam jualan tablet biasa seperti iPad. Pengguna sekarang memerlukan tablet yang bukan sahaja sesuai digunakan untuk menonton media, malahan mempunyai kemampuan melakukan tugasan kerja. Gabungan saiz kompak, rekaan premium dan kuasa memproses yang tinggi ini kami jangkakan akan terus menjadi trend sepanjang 2016.

Samsung-Galaxy-TabPro-S-1

Samsung baru sahaja melancarkan komputer tablet Samsung Galaxy TabPro S. Ia menggunakan sistem operasi Windows 10 Pro dan diperkasakan dengan pemproses dua teras Intel Core M generasi ke enam. Skrin SAMOLED 12″ yang digunakan mempunyai resolusi 2560 x 1440 pixel. Selain daripada itu ia dilengkapi RAM sebesar 4 Gigabyte dan muatan dalaman SSD 128/246 Gigabyte. Seperti Surface Pro, TabPro S dilengkapi dengan papan kekunci fizikal yang disambung secara magnetik. Fungsi unik yang disertakan Samsung ialah pengguna boleh menyahkunci komputer ini dengan menggunakan sistem NFC pada peranti pintar yang mereka miliki. Ia turut dilengkapi dengan port pengecasan USB-C, kamera 5 Megapixel (hadapan dan belakang), bateri sebesar 5200 mAh dan ketebalan hanya 6.3 mm. Ini menjadikannya lebih nipis berbanding Surface Pro 4 dan iPad Pro. Komputer tablet ini akan mula dijual Februari depan tetapi harga jualan masih belum diumumkan setakat ini. Apa yang kami rasakan aneh ialah penggunaan jenama Galaxy pada peranti Windows 10. Sebelum ini jenama ini hanya digunakan pada peranti Android keluaran mereka.

Samsung-Galaxy-TabPro-S-2  Samsung-Galaxy-TabPro-S-3


TIPS & ULASAN