Carian
Kit Menguji Kehamilan Pintar Kini Realiti – Menggunakan Teknologi Bluetooth
January 6, 2016 Effi Saharudin

Pemintaran objek biasa dan peranti berhubung (IoT) ialah dua perkara yang dijangka semakin berkembang tahun ini. Harga komponen yang semakin murah menjadi pemangkin kedua-dua teknologi ini. Beberapa jam yang lalu kami memaparkan artikel pasu pintar. Kini muncul pula kit menguji kehamilan pintar yang ditambat kepada peranti menggunakan teknologi Bluetooth. Pregnancy Pro keluaran First Response akan menunjukkan keputusan ujian air kencing pengguna menerusi aplikasi peranti pintar. Kesemua maklumat yang dikumpul seperti tahap hormon human chorionic gonadotropin (hCG) akan direkodkan oleh aplikasi khas yang digunakan. Sekiranya pengguna tidak mengandung, maklumat hormon dan tarikh ujian dilakukan akan disimpan bagi memudahkan pengguna merancang kehamilan.

Pregnancy pro

Sekiranya pengguna disahkan mengandung, aplikasi akan mempamerkan maklumat penting pada setiap fasa kehamilan. Ia akan memberikan tips kesihatan, diet dan mengingatkan pengguna untuk menjalani ujian dengan doktor sakit puan mereka. Idea di sebalik Pregnancy Pro ialah memberikan akses kepada maklumat berkenaan kehamilan dengan lebih mudah kepada ibu-ibu yang mengandung selepas mereka melakukan ujian kehamilan. Maklumat diberikan di dalam bentuk teks, ilustrasi dan juga video. Aplikasi untuk kit ini hanya menyokong sistem operasi Android dan iOS sahaja buat masa ini. Pregnancy Pro akan mula dijual musim bunga ini di Amerika Syarikat dengan harga di antara $14.99 – $21.99 sebatang.

Komen