Permainan Komputer Cetak Rompak Mungkin Pupus Dalam Masa Dua Tahun

Permainan Komputer Cetak Rompak Mungkin Pupus Dalam Masa Dua Tahun

Diterbitkan pada Jan 7, 2016 oleh .

Membeli ataupun memuat turun permainan komputer cetak rompak ialah perkara yang kami yakin pembaca Aman pernah lakukan sekurang-kurangnya 10 kali. Kami yakin dengan kenyataan ini kerana permainan komputer di Malaysia dijual pada harga yang mahal. Peminat permainan komputer di Amerika Syarikat hanya perlu membayar $60 untuk satu permainan tetapi kita perlu membayar sehingga RM 240. Ini adalah harga yang mahal bagi mereka yang masih lagi belum bekerja. Kami akui pernah terjebak di dalam arena cetak rompak ketika masih lagi belajar. Sejak sudah bekerjaya dan STEAM menjual permainan dengan harga mampu milik, ini sudah kami tinggalkan.

Cetak Rompak

Berita buruk di sini ialah tidak semua orang bernasib baik seperti kami. Berita lagi buruk bagi anda yang masih mencetak rompak ialah permainan “percuma” yang dimuat turun mungkin akan pupus dalam masa dua tahun. Ini adalah kerana permainan komputer yang dikeluarkan sekarang semakin sukar untuk digodam. Sistem DRM Denuvo yang digunakan oleh permainan baru seperti Just Cause 3 dan FIFA16 nampaknya mustahil untuk digodam. Ini membuatkan kumpulan penggodam permainan 3DM yang berpangkalan di China untuk mengeluarkan kenyataan berani bahawa permainan cetak rompak mungkin akan pupus dalam masa dua tahun. Pengasas 3DM yang menggunakan nama Phoenix membuat pengakuan di dalam kes Just Cause 3, mereka berkali-kali gagal menghasilkan cracked untuk permainan ini. Just Cause 3 sudah dijual lebih tiga bulan dan kegagalan untuk menggodamnya dianggap satu kejayaan besar. Biasanya permainan baru akan dibocorkan awal dan cracked untuk membolehkan ia dicetak rompak muncul dalam masa beberapa hari.

Berita baik baik penggemar permainan cetak rompak ialah tidak semua pengeluar menggunakan sistem DRM Denuvo. Permainan Assassin’s Creed Brotherhood keluaran Ubisoft misalnya sudahpun dikongsi secara haram menerusi laman Torrent tanpa masalah. Tambahan lagi di dalam dunia penggodam istilah “sistem DRM yang tidak boleh digodam” tidak wujud. Mereka pasti akan menemui kelemahan sistem dan kemudian mencipta lubang belakang untuk membolehkan perisian dicetak rompak.Persoalannya ialah dengan wujudnya pelbagai perkhidmatan penjualan atas talian seperti Origin, Good old Games dan STEAM yang menawarkan permainan pada harga mampu milik mengapa masih ada yang mencuri? Mungkin sudah tiba masanya kita mengucapkan selamat tinggal kepada SKIDROW, RELOADED, Razor 1911 dan DEViANCE.


TIPS & ULASAN