BlackBerry pada tahun lepas telah melancarkan telefon pintar baru mereka berasaskan Android sepenuhnya dinamakan sebagai Priv. Menurut pihak BlackBerry, peranti berkenaan menerima permintaan yang agak baik berbanding beberapa peranti mereka sebelum ini.
BlackBerry mengatakan mereka yakin untuk membawa keuntungan pada tahun ini. BlackBerry sebelum ini telah mengatakan yang mana tahun 2016 akan menjadi salah satu tahun penentu mereka dalam arena peranti mudah-alih, sama ada ingin meneruskannya ataupun sebaliknya.
Bercakap mengenai BlackBerry 10, John Chen mengatakan mereka masih akan terus meneruskan pembangunannya, dan menawarkan kemaskini untuk peranti sedia ada. Tetapi mereka tiada perancangan untuk melabur dalam peranti baru berasaskan BlackBerry 10 buat masa ini.
Sebaliknya, BlackBerry dilihat akan lebih memfokuskan kepada peranti berasaskan Android. Pada tahun ini, ia dijangka kita mungkin akan melihat antara satu atau dua peranti Blackberry baru berasaskan Android – dan menawarkan ciri-ciri dan kelebihan daripada BlackBerry, seperti pada BlackBerry Priv.