Xiaomi selepas hadir dengan beberapa teaser, hari ini secara rasminya telah pun memperkenalkan Redmi 3 kepada umum, dan akan mula dijual di pasaran China bermula esok – 12 Januari 2016. Peranti ini akan dijual di China pada harga 699 Yuan iaitu sekitar RM470 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
Redmi 3 hadir dengan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan 720p, dilengkapi cip Snapdragon 616 lapan-teras, memori 2GB RAM, dan ruangan storan 16GB. Pengguna turut boleh mempeluaskan storan menggunakan kad mikro-SD, tetapi ia berfungsi pada ruangan SIM hibrid – dimana pengguna boleh memilih sama ada kad-SIM kedua atau kad mikro-SD.
Melengkapkan peranti ini adalah bateri berkapasiti 4100mAh, serta menyertakan sokongan infra-merah untuk mengawal peralatan elektronik.
Pada bahagian kamera pula, Redmi 3 menyertakan kamera belakang 13-megapixel f/2.0 dengan sokongan PDAF dan juga kamera hadapan 5.0-megapixel.
Buat masa ini, pihak Xiaomi masih tidak mengumumkan penawaran peranti ini untuk pasaran luar China lagi. Tetapi, berdasarkan penawaran mereka sebelum-sebelum ini, tidak mustahil untuk kita melihatnya hadir ke pasaran Malaysia dalam masa beberapa bulan lagi.