Tahun lalu Nokia mengumumkan akan kembali ke arena penghasilan peranti pintar pada tahun 2016. Secara rasminya mereka tidak boleh mengeluarkan telefon pintar berjenama Nokia sehingga suku ke-empat tahun ini. Ini adalah kerana jenama Nokia kini digunakan oleh Microsoft untuk peranti berspesifkasi rendah yang dikeluarkan mereka. Beberapa gambar peranti pertama yang akan dihasilkan semula Nokia mula tersebar tahun lalu. Hari ini sebuah lagi gambar tertiris yang dikatakan peranti pertama Android keluaran Nokia.
Dari gambar yang tertiris ia kelihatan seperti diperbuat daripada logam. Kamera di bahagian tengah pada panel belakang mengingatkan kami kepada peranti buatan HTC. Kesahihan gambar ini masih belum boleh disahkan. Apa yang pasti kemunculan semula jenama Nokia pastinya dinantikan oleh peminat pengeluar yang sudah menjual lebih 1 Billion peranti di dalam sejarahnya. Sama-samalah kita menanti suku ke-4 2016 untuk melihat burung Phoenix Finland bangkit dari api pelantar minyak yang terbakar.