Carian
E-Sukan Kini Mata Pelajaran Di Sebuah Sekolah Norway
January 13, 2016 Effi Saharudin

Pelajaran mandatori kepada kanak-kanak sudah diwajibkan keatas kanak-kanak Norway sejak 1736. Pada waktu tersebut kanak-kanak hanya diwajibkan mengambil kelas membaca. Sistem pelajaran di Norway kini terletak di tangga ke-21 dunia. Ia masih jauh di belakang Korea Selatan di tangga pertama namun kini sebuah sekolah di Norway melakukan sebuah subjek yang pasti akan membuatkan perasaan iri hati pelajar-pelajar Korea Selatan.

Sekolah E sukan

Garnes Vidaregåande Skole, sebuah sekolah awam di Norway kini menawarkan mata pelajaran e-sukan kepada pelajarnya. Mata pelajaran ini hanya mengambil masa 5 jam seminggu dan akan mengajar taktik permainan serta latihan fizikal untuk menjadi seorang atlet e-sukan. Antara permainan yang akan diajar di dalam kelas ialah Dota 2, League of Legends, Counter-Strike: Global Offensive dan Starcraft II. Makmal komputer sekolah ini dilengkapi PC dengan kad grafik Nvidia Geforce 980Ti bagi memastikan kemampuan grafik terbaik. Mengapa mata pelajar e-sukan diajar di sekolah? Pada pendapat tenaga pengajar Garnes Vidaregåande Skole, e-sukan kini adalah kerjaya yang sah seperti menjadi seorang atlet sukan fizikal. Sekiranya sekolah mempunyai mata pelajaran pendidikan jasmani dan sukan, mengapa tidak untuk e-sukan?

Di Malaysia mungkin mata pelajaran ini boleh dijadikan elektif kepada pelajar-pelajar yang berminat. Adalah lebih baik pelajar bermain permainan video di sekolah dengan cikgu yang akan mengajar taktik dari menghabiskan masa di kafe siber. Mungkin dengan adanya penawaran mata pelajaran ini masalah pelajar ponteng sekolah di kafe siber akan dapat diselesaikan.

Komen