(Konsep) TALOS – Pakaian Pintar Anggota Pasukan Khas Masa Hadapan Amerika Syarikat
Artikel Berkaitan

(Konsep) TALOS – Pakaian Pintar Anggota Pasukan Khas Masa Hadapan Amerika Syarikat

Diterbitkan pada Jan 13, 2016 oleh .

Amerika Syarikat adalah negara yang dilabel sebagai polis dunia. JIka ada konflik berlaku di dunia, pasukan khas mereka pasti akan terlibat secara rasmi ataupun rahsia. Pasukan khas komando, DELTA dan SEALS mereka pernah terlibat di peperangan di Korea Selatan, Kemboja, Kosovo, Somalia, Iraq, Afghanistan dan juga Syria. Pasukan khas mereka menjadi bualan dunia selepas berjaya membunuh Osama ben Laden pada tahun 2011. Antar sebab mengapa mereka digeruni ialah kombinasi latihan yang paling lasak dan penggunaan senjata terkini di medan perang. Amerika Syarikat tidak segan menggunakan teknologi terkini mereka untuk memberikan kelebihan berbanding musuh yang mempunyai anggota yang lebih besar.

TALOS-revision1

Sungguhpun mereka kini dilengkapi senjata paling canggih, mereka masih mahu memperbaiki kelemahan yang wujud. Oleh itu program TALOS (Tactical Assault Light Operator Suit) dimulakan pada tahun 2013 bagi meningkatkan kebarangkalian tentera pasukan khas untuk kembali dari medan perang dengan selamat. Apa yang anda lihat di atas ialah konsep TALOS yang dihasilkan oleh Revision Military. Ia mempunyai kerangka luaran (exoskeleton) yang membolehkan anggota membawa lebih banyak beban ketika menjalankan operasi. Ia meningkatkan daya angkat dan kepantasan pergerakan pemakai. Pada waktu yang sama sistem perisai kalis peluru modular TALOS menutupi 60% permukaan tubuh pemakai berbanding hanya 18% seperti yang digunakan sekarang. Apa yang membuatkan TALOS benar-benar pintar ialah ia mampu mengesan biometri pemakainya. Markas boleh mengesan tekanan darah, degupan nadi dan suhu tubuh pemakai setiap masa bagi mengetahui tahap kesihatan. Sekiranya anggota terkorban, markas dan ahli pasukan akan mengetahuinya serta merta. Sistem penyejukan cecair terbina turut disertakan. Pengalaman di Afghanistan dan Iraq membuktikan suhu tubuh anggota tentera memberikan kesan negatif kepada prestasi mereka. Dengan sistem penyejukan ini anggota akan lebih selesa dan berfungsi secara optimum.

TALOS-revision2

Sistem TALOS ini mengingatkan kami kepada baju zirah yang dipakai oleh Master Chief siri HALO. Pengesan biometri yang boleh dipantau pula sudah wujud di dalam dunia fiksyen sains seperti ALIENS. Nampaknya realiti semakin menghampiri fiksyen. Apabila TALOS digabungkan dengan senjata pintar seperti peluru yang boleh mengubah arah di udara, sistem penstabilan tangan penembak MAXFAS dan peluru berkamera SPARCS, tentera Amerika Syarikat akan lebih menghampiri tentera permainan komputer yang kita mainkan selama ini.

 


TIPS & ULASAN