Cari @ Amanz

Barangan pintar semakin banyak dihasilkan. Antara yang sudah wujud ialah bagasi pintar, tongkat OKU penglihatan pintar dan juga rambut palsu pintar. Kini wujud pula lampu pintar Multifunctional Light yang dibangunkan oleh Sony dan Toshiba. Lampu LED pintar ini boleh menyala dengan pelbagai warna mengikut mood pengguna. Fungsi menarik lain ialah ia boleh mengesan kehadiran pengguna dan secara automatik menghidupkan lampu.

Sony-Multifunctional-Light

Pemancar infra merah terbina pula membolehkan ia menghidupkan alat elektrik seperti televisyen dan pendingin hawa pada waktu yang sama. Tidak perlu lagi anda menghidupkan ketiga-tiga alat elektrik ini secara manual. Pengesan pergerakan ini juga boleh diprogramkan untuk berfungsi sebagai penggera lengkap dengan pembesar suara. Pengesan suhu yang turut disertakan boleh diprogramkan untuk menghidupkan atau mematikan pendingin hawa. Sekiranya terdapat lebih daripada satu Multifunctional Light dipasang di rumah ia boleh digunakan sebagai alat interkom untuk perhubungan antara bilik. Panggilan suara juga boleh dilakukan dari peranti pintar terus ke lampu ini. Kesemua fungsi pintar ini dengan mudah dapat dikawal menggunakan aplikasi pada peranti pintar pemilik. Jelas sekali Multifunctional Light memang nama yang sesuai untuk lampu pintar ini kerana jumlah fungsi yang mampu dilakukannya. Ia akan dijual di Jepun bulan ini sebelum ke pasaran Eropah dan Amerika Utara. Harga jualan masih belum diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd