Carian
Bateri LiOn Dengan Suis Kecemasan Mengelakkan Kebakaran Kini Dibangunkan
January 15, 2016 Effi Saharudin

Kebakaran akibat bateri LiOn yang digunakan pada pelbagai peranti sekarang adalah masalah yang membimbangkan. Ia mengakibatkan papan apung dan juga vape dari dibawa masuk ke dalam kapal terbang. Bateri LiOn mungkin popular tetapi kemampuannya untuk terbakar secara rawak ketika peranti dicas misalnya sudah berlarutan selama bertahun lamanya. Sungguhpun risiko kebakaran wujud, bateri LiOn masih digunakan secara meluas kerana ketiadaan teknologi alternatif.

Stanford-Bateri-LION

Universiti Stanford kini sudah berjaya membangunkan teknologi suis kecemasan yang menghalang bateri LiOn dari terbakar secara tiba-tiba. Kebanyakan kebakaran berlaku apabila bateri menjadi terlalu panas. Selepas mengenali sumber masalah utama ini, penyelidik di Stanford memasukkan partikel nano nikel yang disalut dengan graphene pada bateri LiOn mereka. Pada suhu normal partikel nikel ini akan bersambung dan membenarkan arus mengalir. Apabila suhu mencecah 70 darjah Celsius jarak di antara partikel akan bertambah dan ia tidak akan lagi bersambung. Arus serta merta akan terhenti bagi mengelakkan bateri menjadi lebih panas dan terbakar. Apabila suhu kembali normal struktur partikel nano bersambung semula dan bateri boleh digunakan. Prototaip ini masih diuji dan penggunanya di dunia sebenar mungkin masih jauh di hadapan. Buat masa ini pastikan anda tidak mengecas bateri peranti sehingga menjadi terlalu panas.

Komen