Laman YouTube dihalang aksesnya di Pakistan selepas insiden melibatkan video The Innocence of Muslim empat tahun yang lalu. Filem pendek yang didakwa menghina kehidupan Rasulullah ini mengakibatkan berlakunya rusuhan di Pakistan dan beberapa negara bermajoriti penganut Islam. Selepas menerima jutaan protes, video ini akhirnya dipadamkan oleh YouTube yang pada awalnya enggan memadamnya atas alasan kebebasan bersuara.
Selepas empat tahun akhirnya YouTube kini kembali boleh diakses di Pakistan. Google telah melancarkan YouTube Pakistan – dimana lebih kurang sama seperti YouTube Malaysia, ia dikhususkan dengan memaparkan pelbagai kandungan daripada penerbit tempatan di halaman utama, sekaligus memudahkan pengguna di sana mengetahui apakah yang sedang popular dan hangat ditonton pada sesuatu masa.
Pihak Google telah melancarkan versi Pakistan ini, bersama-sama dengan pengenalan di Sri Lanka dan juga Nepal. Buat masa ini, YouTube di Pakistan beroperasi tanpa sebarang penjanaan wang melaluinya.
Di Malaysia, Google telah melancarkan YouTube Malaysia sebelum ini, yang mana turut hadir dengan sokongan bahasa Malaysia. Pengenalan YouTube di beberapa negara membangun turut menyertakan fungsi offline-mode – dimana negara terdekat dengan kita yang mempunyai fungsi berkenaan adalah Indonesia.
Mungkin kita akan melihat pihak Google terus memperluaskan YouTube mengikut negara dari tahun ke tahun, sekaligus akan memudahkan mereka memperkenalkan YouTube Red kepada negara luar Amerika Syarikat dengan mengawal kandungan dan perlesenan dengan mudah.