Carian
Microsoft Sedang Membangunkan Panggilan Video Dengan Memancar Pemanggil Di Hadapan Anda
January 20, 2016 Aman

Microsoft telah pun memperkenalkan beberapa fungsi baru melalui Skype, dan kini bergerak ke hadapan, Microsoft Research memperlihatkan kajian mereka yang membolehkan pengguna membuat panggilan video dengan memancar pemanggil di hadapan anda.

Microsoft Room2Room

Microsoft memanggil projek ini sebagai Room2Room. Melaluinya, kamera Kinect digunakan untuk merakamkan gambar pengguna dalam bentuk tiga dimensi, dan kemudian ia dipancarkan kepada pengguna lain dalam bentuk saiz menyeluruh.

Ini sekaligus membolehkan anda berkomunikasi dengan rakan lain seumpama mereka berada di hadapan anda.

Untuk makluman, Microsoft Research menggunakan sebahagian teknologi daripada RoomAlive sebelum ini. Pada RoomAlive, Microsoft telah memperlihatkan kebolehan pengguna memainkan sesuatu permainan dengan menggunakan Kinect dan projektor digital untuk pengalaman dalam bilik yang menyeluruh.

Kajian pihak Microsoft dalam perkara ini mungkin bukan sesuatu yang baru, apatah lagi dengan mereka yang sedang membangunkan HoloLens dan beberapa kajian lain berkaitan arena Augmented Reality. Dengan perkembangan sihat ini, tidak mustahil untuk kita melihat perubahan menarik dalam arena komunikasi dan panggilan video dalam beberapa tahun akan datang.

Komen