Pada hari ini, terdapat sejumlah pelayar web yang ditawarkan untuk pelbagai sistem operasi – memberikan pilihan kepada pengguna untuk apa yang mereka inginkan. Salah satu pelayar web terbaru yang hadir hari ini adalah Brave, yang diterajui oleh bekas CEO Mozilla, Brendan Eich.
Brave masih pada peringkat pembangunan, tetapi mereka yang berminat boleh mengujinya pada Mac, Windows, iOS dan juga Android. Memandangkan ia masih pada peringkat pembangunan, maka tidak mustahil untuk pelayar web ini mempunyai pepijat dan masalah yang masih tidak dikenal-pasti lagi.
Brave ini memfokuskan untuk menawarkan pelayaran web yang pantas dan kemas kepada pengguna. Dalam usaha berkenaan, Brave turut menyertakan penghalang iklan terbina – memandangkan kebiasaannya, iklan yang membuatkan masa pemuatan sesuatu web itu lama.
Dengan menghalang pelbagai iklan, cookies dan beberapa tracker lain, ini menjadikan pelayaran web lebih pantas – disamping pada masa yang sama mengekalkan privasi pengguna.
Walaubagaimanapun, Brave mengatakan mereka tidak ingin memberikan impak kepada penerbit dan pembangun web. Mereka bakal memperlihatkan iklan mereka tersendiri pada bahagian-bahagian iklan yang terhalang, seterusnya berkongsi pendapatan dengan penerbit web, mahupun pengguna. Perancangan berkaitan dengannya dijangka dikongsikan dalam masa terdekat.
Brave dibangunkan berasaskan kepada Chromium – sama seperti Chrome, Opera dan beberapa pelayar web lain.
Memandangkan ia masih lagi pada peringkat awal, maka ia lebih ditujukan kepada pembangun. Sejumlah fungsi masih tidak disertakan pada pelayar web Brave versi pembangunan ini, termasuk ketiadaan pengurus Bookmark, sejarah pelayaran dan sebagainya.
Dengan pengumuman pelayar web baru ini, kita mungkin akan melihat ia dilancarkan kepada pengguna umum dalam masa beberapa bulan lagi.
- Layari : Brave