Microsoft melalui Microsoft Garage Project mempunyai beberapa aplikasi ringkas yang ditawarkan untuk pelbagai platform. Terkini, hari ini pihak Microsoft Garage telah hadir dengan sebuah aplikasi baru dinamakan Mimicker Alarm.
Melalui Mimicker Alarm ini, Microsoft ingin memastikan anda bangun pagi – dimana ia bukan hanya sekadar mengeluarkan bunyi penggera, tetapi turut memerlukan anda membuatkan beberapa aktiviti sebelum penggera tersebut dihentikan.
Mimicker Alarm ini mempunyai tiga aktiviti dan permainan yang perlu dilakukan sebelum penggera dihentikan – iaitu Express Yourself, Color Capture, dan juga Tongue Twister.
https://www.youtube.com/watch?v=VWJyCYkMc3Y
Melalui Express Yourself, pengguna akan diperlukan merakamkan gambar selfie mengikut emosi yang ditentukan. Microsoft menggunakan API daripada Project Oxford untuk menganalisanya dan memastikan anda membuat mimik muka yang sama dengan emosi yang dipaparkan.
Untuk Color Capture pula, anda perlu merakamkan gambar objek dengan warna yang dipaparkan, sementara untuk Tongue Twister pula anda dikehendaki untuk mengulang semula perkataan yang diperlihatkan.
Dengan membuat aktivit berkenaan, ia akan menjadikan anda bangun pada waktu pagi, serta berusaha mematikan penggera pada telefon.
Bagi pengguna peranti Android, anda boleh memuat-turun aplikasi Mimicker Alarm ini hari ini, dan memastikan anda bangun pagi dan tidak lagi terlepas sebarang penggera pada awal pagi.
- Muat-Turun Mimicker Alarm untuk Android