Carian
Alcatel Kini Menawarkan Lensa Makro Dan Fish Eye Untuk Alcatel Flash 2
January 22, 2016 Ikhwan Nazri

Pada awal suku terakhir tahun 2015, Alcatel telah melancarkan telefon pintar Flash 2, yang merupakan peranti dengan berspesifikasi pertengahan, ditawarkan pada harga yang rendah, iaitu RM 549. Antara spesfikasinya termasuklah kamera utama 13MP dan kamera hadapan 5MP, cip pemprosesan MediaTek 1.3GHz dengan RAM 2GB serta skrin bersaiz 5-inci. Terkini, pihak Alcatel telah memperkenalkan aksesori untuk Flash 2 yang akan hadir dalam masa terdekat ini.

Menyedari akan sambutan terhadap peranti ini, pihak Alcatel akan menawarkan dua aksesori tambahan berupa penutup belakang dan juga lensa khusus untuk Flash 2. Penutup belakang Flash 2 buat masa ini ditawarkan dalam warna Volcanic Grey, dimana penutup berwarna hitam kekelabuan ini juga hadir dengan kemasan baldu. Dua penutup baru yang akan ditawarkan ialah Rose Gold yang berwarna merah jambu emas dan Mica White, lebih kepada putih berkilat.

Bagi aksesori lensa Flash 2, pengguna akan memperoleh lensa Makro dan ‘Fish Eye’, yang perlu dipasangkan pada penutup khusus untuknya, menggantikan penutup belakang Flash 2 sedia ada. Aksesori lensa ini juga didatangkan dengan bekas khusus untuknya yang mampu melindungi lensa ini. Aksesori ini akan hadir seawal minggu kedua selepas sambutan Tahun Baru Cina dan buat masa ini tiada sebarang maklumat berkenaan harganya.

Salah satu lagi berita menarik buat pengguna Flash 2 adalah ketersediaan kemaskini Android Marshmallow untuk peranti ini. Buat masa ini Alcatel Flash 2 beroperasi menggunakan Android Lollipop dan dijangka akan menerima kemaskini Android Marshmallow pada bulan Mac sekaligus membolehkan pengguna menikmati fungsi-fungsi baru yang ditawarkan pada sistem operasi ini.

Komen