WhatsApp Menguji Integrasi Sokongan Perkongsian Data Antara Facebook Dan WhatsApp Messenger

WhatsApp Menguji Integrasi Sokongan Perkongsian Data Antara Facebook Dan WhatsApp Messenger

Diterbitkan pada Jan 23, 2016 oleh .

WhatsApp FacebookWhatsApp telah diambil-alih oleh Facebook sebelum ini, dan sejak daripada itu, pelbagai perubahan telah dibawakan – termasuk baru-baru ini mereka menamatkan yuran langganan tahunan dan menawarkannya secara percuma sepenuhnya. Terkini, melalui versi beta aplikasi WhatsApp Messenger untuk Android, mereka turut menguji sokongan perkongsian data dengan Facebook.

Melalui pilihan baru yang hadir pada versi beta Android, ia dilihat WhatsApp menawarkan pilihan kepada pengguna sama ada ingin berkongsi data mereka di WhatsApp ke Facebook ataupun sebaliknya. Sekiranya dipilih, ia dikatakan akan menambah-baik lagi pengalaman penggunaan laman sosial popular berkenaan.

Buat masa ini, WhatsApp hanya mengujinya pada versi beta, dan tidak diketahui lagi sama ada ia akan diperkenalkan pada versi akhir kepada pengguna ataupun sebaliknya. Ia juga kurang pasti berkenaan data apakah yang dikongsikan antara kedua-dua perkhidmatan berkenaan.

Namun, memandangkan ia hadir dalam bentuk pilihan – mungkin sekiranya fungsi ini dilancarkan secara rasmi pada versi akhir, ia tidak akan memberikan masalah kepada ramai pengguna perkhidmatan permesejan popular berkenaan.


TIPS & ULASAN