Dunia animasi tempatan mula meriah beberapa tahun yang lalu berkat dari penciptaan karekter-karekter asli seperti Upin dan Ipin, Boboiboy, Rimba Racer dan sebagainya. Malah studio animasi juga giat mencipta karya baru bukan sahaja bagi memenuhi permintaan tempatan, malah permintaan antarabangsa. Digital Durian merupakan satu lagi syarikat produksi animasi tempatan yang popular dengan siri animasi mereka iaitu Didi & Friends.
Berbeza dengan siri animasi yang lain, dimana mereka mempunyai jalan cerita yang tersendiri, Didi & Friends merupakan siri animasi yang memfokuskan nyanyian lagu rakyat, dan mensasarkan golongan penonton berumur 5 tahun kebawah. Dalam menceritakan sedikit sebanyak mengenai animasi Didi & Friends, Sinan Ismail, pengarah Digital Durian telah meluangkan sedikit sedikit masa bersama kami.
Simpan ayam serama (3D-modeling) tersebut, kita akan buatkannya popular satu hari nanti
Pada mulanya syarikat yang diusahakan oleh beliau dan rakannya hanyalah memfokuskan kepada perkhidmatan multimedia, dimana permintaan klien adalah sekitar penghasilan karya digital seperti kandungan e-Learning, video multimedia, animasi 3D untuk industri korporat dan sebagainya. Idea untuk animasi ini terhasil apabila salah seorang pekerja Digital Durian mencipta model karekter ayam serama dan Sinan seperti ternampak aura karekter tersebut, dan menyuruh pekerja beliau ‘menyimpan’ karekter tersebut untuk kegunaan akan datang.
Sehinggalah pada suatu hari beliau mendapat idea untuk mencipta lagu rakyat, lalu watak ayam serama tersebut dihidupkan semula dan digunakan bagi menyertai pertandingan MDeC IPCC (IP Creators Challenge) yang menawarkan sejumlah wang untuk Sinan memulakan siri animasi ini. Bertitik-tolak dari kejayaan animasi pendek tersebut, mereka telah mencari lebih dana untuk mengembangkan siri animasi lagu rakyat ini. Bermula dari RM 50,000 wang kemenangan dari MDeC IPCC, seterusnya RM 150,000 menerusi dana dari Cradle, sehinggalah dana seterusnya yang membolehkan produksi animasi ini berkembang.
Memandangkan siri animasi Didi N Friends menggunakan lagu rakyat untuk penonton mereka yang rata-ratanya kanak-kanak berusia dibawah 5 tahun, mereka tidak punya halangan dalam menjana jalan cerita, sebaliknya menghidupkan semula lagu-lagu rakyat dalam Bahasa Melayu. Watak utama siri animasi ini adalah Didi yang merupakan seekor ayam serama, ditemani dengan Jojo dan Nana. Menggunakan enjin carian Google, mereka mendapati terdapat permintaan oleh ibu-bapa dalam mencari lagu-lagu rakyat untuk dimainkan kepada anak-anak mereka.
Bagi setiap episod yang mengetengahkan satu lagu rakyat, mereka mengambil masa dua minggu lamanya bagi melengkapkan episod tersebut. Sehingga kini mereka mempunyai lebih dari 26 lagu, dimana kesemua 26 lagu ini akan dikeluarkan dalam tempoh setahun. Berbeza dengan syarikat produksi animasi lain yang terikat dengan terma dan syarat penyiaran oleh stesen televisyen, Didi & Friends disiarkan di halaman YouTube terlebih dahulu, jadi sebarang episod yang telah disiapkan dapat disiarkan dengan pantas, tanpa perlu menunggu apa-apa pengesahan. Boleh dikatakan siri animasi ini dibuat dengan mengutamakan YouTube terlebih dahulu, dan bukan sesuatu yang selalu dilakukan oleh syarikat produksi animasi kerana kebiasannya, syarikat produksi animasi lebih mengutamakan saluran televisiyen.
Fokus pada YouTube sebelum televisyen
Menariknya dalam tempoh beberapa tahun mereka mula menyiarkan Didi & Friends di YouTube, ia menjadi siri animasi yang popular dalam tempoh yang sangat singkat. Saluran YouTube mereka yang bermula pada bulan Mei 2014 kini telah ditonton sebanyak 58 juta kali dan popular dikalangan ibu bapa dan tadika. Menurut Sinan terdapat juga ibu bapa yang mengambil contoh Didi sebagai tauladan untuk anak-anak mereka.
Pada akhir tahun lalu, Digital Durian telahpun menandatangani perjanjian kerjasama bersama Astro Ceria, dimana menerusi perjanjian ini Astro akan bekerjasama dalam penghasilan siri animasi ini, dan siri animasi ini juga akan hadir ke saluran Ceria yang dimiliki Astro. Mereka juga akan melipatgandakan penghasilan produk Didi & Friends, dimana penonton mereka boleh membeli produk di halaman isooka.com yang dimiliki Astro. Ini bukanlah bermakna tiada lagi animasi tersebut di YouTube, akan tetapi penonton animasi ini dengan mudah bertambah dan dapat ditonton oleh lebih ramai lagi kanak-kanak memandangkan saluran Astro Ceria antara saluran yang termasuk dalam pakej utama perkhidmatan TV satelit tersebut.
Dalam berkongsi mengenai perancangan tahun ini, Sinan turut menyatakan lagu-lagu mereka akan menembusi pasaran lain, baik dari segi terjemahan, nyanyian semula dalam bahasa lain dan juga menggunakan lagu rakyat bahasa lain. Mereka juga telahpun selesai melakukan ujibakat suara untuk Bahasa Cina (Mandarin) dan siri animasi dengan Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris dijangka akan ditayangkan pada suku pertama tahun ini.
- Tonton: Didi & Friends