honor 5x dan honor 7 Enhance Diumumkan Untuk Pasaran Malaysia – Harga Masih Tidak Diketahui

honor 5x dan honor 7 Enhance Diumumkan Untuk Pasaran Malaysia – Harga Masih Tidak Diketahui

Diterbitkan pada Jan 26, 2016 oleh .

honor Malaysia hari ini telah memperkenalkan dua peranti baru mereka untuk pasaran tempatan, iaitu honor 5x dan juga honor 7 Enhance – dimana kedua-duanya membawakan rekaan premium berasaskan kepada logam, serta dilengkapi sokongan pengimbas cap jari.

Honor Malaysia

Honor 5x – Peranti Spesifikasi Pertengahan Dengan Ciri-Ciri Premium

honor 5x merupakan telefon pintar berspesifikasi pertengahan daripada honor. Walaupun berspesifikasi pertengahan, pihak honor mengekalkan beberapa ciri-ciri flagship pada telefon pintar ini. Ia menggunakan rekaan premium berasaskan kepada logam.

honor 5x

Disamping itu, pada bahagian belakang, honor 5x menyertakan sokongan pengimbas cap jari – menjadikan telefon pintar dan data anda lebih selamat dan mengelak ia diakses mereka yang tidak dikehendaki. Pengguna turut boleh menetapkan imbasan jari yang berbeza-beza untuk profil yang berlainan. Menggunakan pengimbas cap jari juga, pengguna boleh menjawab panggilan, mengakses aplikasi dengan pantas, menatal notifikasi, dan pelbagai perkara yang lain.

Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi dengan skrin 5.5-inci dengan resolusi HD penuh. honor 5x turut dikatakan menawarkan paparan yang lebih terang 15% dibawah cahaya matahari berbanding peranti lain.

Honor 5X

Untuk rakaman gambar pula, ia menyertakan kamera belakang 13-megapixel – menawarkan lensa sama seperti pada Huawei P7 sebelum ini. Integrasi fungsi seperti Slow-Mo dan rakaman Time-Lapse turut disertakan pada honor 5x. Menjana peranti ini adalah cip Snapdragon 615 lapan-teras , memori 2GB RAM, ruangan storan 16GB, dan dilengkapi dengan sokongan dwi-SIM serta slot mikro-SD.

honor 7 Enhance – Penaik-Tarafan Kepada honor 7

honor 5x

honor 7 Enhance membawakan rekaan dan spesifikasi yang lebih kurang sama seperti versi asal, tetapi dengan beberapa perubahan dan penambahan. honor 7 Enhance hadir dalam pilihan warna emas sahaja, dan menyertakan ruangan storan 32GB terbina. Disamping itu, melengkapkan peranti ini juga adalah sokongan pengecasan yang lebih pantas berbanding honor 7 biasa.

Harga Jualan

Pihak honor Malaysia tidak mengumumkan harga jualan untuk kedua-dua peranti buat masa ini. Daripada beberapa info yang tertiris, harga honor 5x dikatakan sekitar RM999 sementara honor 7 Enhance pula RM1499. Beberapa sumber dalaman di honor Malaysia mengatakan mereka masih sedang berbincang dengan pihak honor di China untuk menawarkannya pada harga lebih rendah.

Kedua-dua peranti ini dijangka akan ditawarkan tidak lama lagi, dan pendaftaran minat untuk honor 5x dijangka bermula petang ini melalui laman vMall.


TIPS & ULASAN