Carian
Sokongan Mod Fallout 4 Untuk PlayStation 4 & Xbox One Akan Hadir Dalam Masa Terdekat
January 26, 2016 Effi Saharudin

Fallout 4 ialah antara permainan terbaik tahun lalu walaupun mempunyai beberapa masalah grafik. Sejak hari pertama ia dijual sudah terdapat banyak mod dihasilkan pada platform PC bagi meningkatkan kualiti grafik, menambah fungsi senjata dan memperbaiki masalah sistem dialog yang digunakan Bathesda. Kepada pengguna konsol, mereka hanya boleh melihat dengan iri hati pelbagai mod yang kini boleh dimuat turun oleh pengguna PC. Bathesda hari ini memberikan petunjuk bahawa fungsi mod akan hadir pada konsol dalam masa terdekat. Pengumuman dilakukan menerusi laman Twitter rasmi mereka.

Fallout 4

Mod pada konsol mungkin hadir selepas program rasmi Creation Kit dihasilkan untuk PC. Kepada pengguna PlayStation 4, ada sedikit berita buruk kerana Bathesda mengesahkan mod ini mungkin akan hadir pada Xbox One terlebih dahulu. Ini adalah kerana perkongsian sistem operasi Windows 10 yang memudahkan mod dipindahkan dari PC ke konsol ini. Kami menantikan sokongan mod untuk konsol hadir kerana kami tidak mempunyai PC yang berkuasa untuk memainkan versi PC. Sama-sama kita nantikan kemunculannya. Jadi buat masa ini kami harus akur bahawa dalam dunia mod, PC masih lagi bangsa terpilih.

Komen