Perniagaan Perkakasan Dan Perisian PlayStation Kini Digabungkan Menjadi Sony Interactive Entertainment
Artikel Berkaitan

Perniagaan Perkakasan Dan Perisian PlayStation Kini Digabungkan Menjadi Sony Interactive Entertainment

Diterbitkan pada Jan 26, 2016 oleh .

Tahun lalu adalah ulang tahun ke-20 konsol PlayStation memasuki pasaran. Sejak dari hari itu empat model PlayStation dihasilkan dan menjadi konsol pilihan kebanyakan penggemar permainan komputer dunia. Sehingga kini hampir 400 juta unit PlayStation sudah terjual. Bagi memastikan dominasi berterusan 20 tahun ke hadapan, Sony hari ini mengumumkan syarikat baru Sony Interactive Entertainment yang berpangkalan di San Mateo California. Di bawah syarikat baru ini Sony Computer Entertainment dan Sony Network Entertainment digabungkan di bawah satu payung.

PlayStation 4

Kedua-dua syarikat ini sebelum ini menguruskan perniagaan perkakasan dan perisian PlayStation secara berasingan. Sony Interactive Entertainment akan terus membangunkan pembangunan permainan berkualiti untuk konsol PlayStation 4 dan juga PlayStation VR.  Sebagai pemilik konsol PlayStation, kami mahu melihat penghasilan lebih banyak permainan berkualiti dari studio pembangunan milik Sony. Tahun lalu kami amat kecewa dengan jumlah permainan eksklusif yang terlalu sedikit dan membosankan. Sebagai contoh The Order 1886 yang diuar-uarkan akan menjadi permainan terbaik PlayStation 4 hanya menjadi permainan paling membosankan sepanjang 2015. Semoga Sony Interactive Entertainment membawa perubahan yang positif untuk PlayStation tahun ini.


TIPS & ULASAN