Kajian Mendapati Anda Hanya Memerlukan Empat Orang Kawan Sahaja Di Facebook

Kajian Mendapati Anda Hanya Memerlukan Empat Orang Kawan Sahaja Di Facebook

Diterbitkan pada Jan 27, 2016 oleh .

Berapa ramaikah kawan yang anda ada di laman media sosial seperti Facebook? Kaji selidik pada tahun 2014 menunjukkan secara purata rakyat Malaysia mempunyai 233 teman Facebook. Purata ini adalah lebih tinggi dari kebanyakan negara lain. Tetapi pernahkah anda terfikir berapa ramai teman siber anda yang benar-benar boleh diandalkan di dunia sebenar? Sebuah kajian yang diterbitkan oleh jurnal The Royal Society mendapati anda sebenarnya hanya memerlukan empat orang teman di Facebook. Kajian ini dilakukan oleh  Robin Dunbar, seorang ahli psikologi dari Universiti Oxford.

Facebook-new-logo-1

Beliau melakukan kaji selidik ke atas 3375 responden yang mempunyai purata 150 teman di Facebook. Apabila di dalam situasi “krisis emosi”, secara purata empat orang teman diperlukan untuk menenangkan situasi. Purata 15 orang teman pula diperlukan di dalam situasi memerlukan simpati. Menurut Robin Dunbar jumlah teman atas talian yang boleh diandalkan di dalam situasi kecemasan ini adalah berpadanan dengan teman dunia sebenar. Sungguhpun anda mungkin mempunyai ramai kawan di Facebook, jumlah teman sebenar adalah kecil sama seperti di dunia sebenar. Kami bersetuju dengan kajian ini kerana walaupun mempunyai ratusan teman, apabila memerlukan bantuan hanya tiga orang sahaja yang kami rasakan akan merenangi lautan api untuk membantu. Di dalam situasi kecemasan dua tahun yang lalu, tiga orang insan inilah yang berterusan memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral. Jadi kita harus sentiasa beringat bahawa ratusan ribu pengikut Twitter, Instagram, Vine, Youtube dan Facebook sebenarnya tidak bermakna. Hanya teman dunia sebenar yang anda kenali di dunia analog yang akan membantu anda di dunia sebenar.


TIPS & ULASAN