Carian
Wiko Hadir Ke Pasaran Tempatan Dengan Model Fever, Highway Pure, & Lenny 2
January 28, 2016 Ikhwan Nazri

Pada minggu lepas kami telah berkongsi berkenaan kehadiran jenama dari Perancis ini di pasaran tempatan. Wiko yang merupakan pengeluar kedua terbesar di Perancis, hanya di belakang Samsung akan mula memasarkan telefon mereka di Malaysia. Pada hari ini mereka telah mengumumkan tiga peranti iaitu Fever yang mempunyai spesifikasi bertenaga, Highway Pure 4G yang bergaya, dan Lenny 2 iaitu telefon pintar kelas asas.

Wiko Fever -IMG_9952

Model utama yang dibawakan mereka adalah Wiko Fever yang mempunyai spesifikasi tertinggi diantara ketiga-tiga model ini. Ia hadir dengan cip pemprosesan 1.3GHz Cortex lapan-teras dengan 3GB RAM, kapasiti storan 32GB dan boleh ditambah dengan menggunakan kad Mikro-SD sehingga 64GB, serta mempunyai kapasiti bateri sebesar 2,900mAh. Telefon 4G LTE dengan dua kad SIM ini beroperasi menggunakan Android Lollipop dan hadir dengan kemasan plastik-kulit dibelakangnya. Dari segi kamera ia mempunyai sensor sebesar 13MP untuk kamera utama yang mampu merakam video 1080p 30fps dan 5MP untuk kamera hadapan dengan selfie-flash. Keunikan peranti ini adalah ia juga telefon pintar yang mempunyai bingkai yang mampu bercahaya pada keadaan gelap.

Model kedua yang dibawakan mereka adalah Highway Pure 4G dan seperti namanya, ia mempunyai capaian 4G LTE. Beroperasi menggunakan Android Lollipop, ia dikuasakan oleh cip Snapdragon 410 1.2GHz empat-teras dengan RAM sebesar 2GB dan kapasiti storan dalaman sebesar 32GB. Apa yang menjadi keunikan telefon pintar ini adalah ia hadir pada rekabentuk yang nipis dan ringan. Ia setebal 5.1mm dan seringan 98gram. Kameranya pula mampu merakam video 1080p 30fps serta mempunyai paparan skrin bersaiz 4.8 inci HD 720p dilindungi Corning Gorilla Glass 3. Keunikan telefon ini adalah untuk versi pasaran tempatan, ia hadir dengan 16 butir kristal Swarovski, dan ditatahkan pada butang kuasa dan butang kawalan bunyi.

Untuk model ketiga, telefon pintar Lenny 2 merupakan model yang pasti mampu dimiliki semua dan ditawarkan dalam spesifikasi yang agak baik. Ia mempunyai cip pemprosesan 1.3GHz empat-teras dengan 1GB RAM, storan dalaman sebesar 8GB yang boleh ditambah dengan kad Mikro-SD sehingga 64GB, dan turut menyokong dua kad SIM. Ia hadir dengan skrin bersaiz 5-inci dengan kamera utama mempunyai sensor sebesar 5MP yang boleh merakam video 1080p 30fps dan kamera hadapan 2MP. Telefon yang beroperasi menggunakan Android Lollipop ini mempunyai bateri sebesar 1800 mAh.

Kesemua telefon pintar dari Wiko ini ditawarkan pada harga yang berpatutan dan berbaloi. Model Fever dengan spesifikasi tinggi ditawarkan pada harga RM 799, Highway Pure 4G dengan Kristal Swarovski ditawarkan pada harga RM999 manakala Lenny 2 iaitu telefon pintar dengan spesifikasi asas ditawarkan pada harga RM 299. Ia boleh dibeli di pengedar rasmi jenama Wiko seluruh negara.

Komen