Cari @ Amanz

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya” – Ali Imran 185

Ini ialah ayat yang sering kita dengari apabila menghadiri upacara pengebumian seorang Muslim. Ia mengingatkan kita tentang fakta bahawa tidak seperti Nokia 3310, kita tidak akan kelak hidup selama-lamanya seperti Connor MacLeod. Selepas nyawa ditarik malaikatulmaut, yang tinggal di dunia ialah jasad yang mereput serta merta selepas jantung berhenti berdenyut. Mengikut amalan agama Islam, jasad akan segera diuruskan serta dikafankan sebelum ditanam.

Mushroom-Death-Suit-2

Di Barat proses pengebumian adalah lebih kompleks. Jasad akan diawet, dipakaikan baju, disolek sebelum dimasukkan ke dalam keranda. Sejak kebelakangan ini semakin ramai penduduk barat menyedari bahawa proses pengebumian moden yang diamalkan sekarang sebenarnya mencemari bumi. Kepada yang enggan mencemari bumi selepas meninggal dunia, beberapa teknik pengebumian mesra alam kini boleh dipilih. Salah satu yang dihasilkan ialah kain kafan cendawan Mushroom Death Suit.

Jasad si mati akan dikafankan menggunakan kain yang dijahit menggunakan benang yang disalut spora cendawan. Pada waktu yang sama, tubuh si mati akan disuntik cecair pengawet yang turut mempunyai spora cendawan. Jasad yang dikafankan dengan kain cendawan ini kemudian dibiarkan di kawasan terbuka untuk mereput secara mesra alam. Cendawan mempunyai kemampuan istimewa meneutralkan toksin yang dihasilkan ketika pereputan. Jasad yang sudah mereput akan menjadi bekalan makanan cendawan.

Mushroom Death Suit ialah idea yang dihasilkan Jae Rhim Lee dan Mike Ma. Ia sudah dibangunkan sejak 2011 dan kini menanti kematian Dennis White, seorang penghidap penyakit Primary Progressive Aphasia. Sebuah dokumentari perjalanan hidup, mati dan pengebumian beliau sedang dihasilkan. Sekiranya diberikan pilihan adakah anda akan memilih pengebumian mesra alam seperti ini? Secara peribadi sekiranya diberikan pilihan kami mahu organ kami diambil untuk menyelamatkan nyawa sebelum jasad dihadiahkan untuk kegunaan sains. Sekurang-kurangnya selepas mati dapat berjasa kepada pelajar perubatan kerana semasa hidup tidak berjasa kepada negara.

Mushroom-Death-Suit-1

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd