Boeing Dianugerahkan Kontrak Membina Pesawat Air Force One Generasi Baru

Boeing Dianugerahkan Kontrak Membina Pesawat Air Force One Generasi Baru

Diterbitkan pada Jan 31, 2016 oleh .

Air Force One mungkin adalah pesawat kegunaan peribadi Presiden yang paling terkenal di dunia. Dua pesawat Boeing 747-200 diubah suai dengan kemampuan rahsia yang memberikannya kemampuan menjadi Rumah Putih di udara. Presiden Amerika Syarikat mula menggunakan pesawat peribadi pada tahun 1939 atas sebab keselamatan. Pada waktu tersebut Perang Dunia Kedua baru sahaja meletus dan pihak perkhidmatan rahsia Presiden merasakan menggunakan kapal laut adalah berbahaya akibat ancaman kapal selam milik Jerman. Nama Air Force One mula diketahui penduduk dunia selepas filem dengan nama yang sama dibintangi Harrison Ford muncul di layar perak pada tahun 1997.

Air-Force-One--1

Khamis lalu Boeing diisytiharkan pemenang binaan membina pesawat baru Air Force One. Pesawat yang digunakan sekarang (VC25A) sudah beroperasi sejak 1990 dan sudah menghampiri hayat penggunaan. Pesawat Boeing 747-8 akan digunakan sebagai asas kepada Air Force One baru. Sebelum kontrak dianugerahkan kepada Boeing, pesawat Airbus A380 adalah antara pesawat yang disenarai pendekkan untuk menggantikan Air Force One yang digunakan sekarang. Tentera Udara Amerika Syarikat ada menyatakan bahawa pesawat baru ini harus mampu beroperasi sehingga 30 tahun. Penganugerahan kepada Boeing adalah dijangkakan penganalisis kerana pesawat mereka sudah terpilih untuk kegunaan peribadi presiden sejak 1958. Nilai kontrak membina dua pesawat baru ini juga tidak diketahui tetapi harga jualan sebuah Boeing 747-8 bermula dari $351 Juta (~RM 1.45 Billion)sebuah.


TIPS & ULASAN