Kewujudan peranti pintar ialah antara penyebab kamera point and shoot yang dahulunya digunakan secara meluas kini semakin jarang dilihat. Secara peribadi kali terakhir kami membeli sebuah kamera digital ialah sekitar tahun 2009, dua tahun sebelum kami membeli telefon pintar pertama kami. Dari segi kualiti gamba, kualiti kamera pada peranti pintar kini sudah semakin menyaingi sebuah kamera digital. Kamera Samsung Galaxy S6 yang kami ulas tahun lalu pada hemat kami jauh lebih baik dari kamera digital yang kami gunakan sekarang. Kualiti mungkin sudah hampir setanding tetapi kamera digital masih mempunyai kelebihan iaitu dari segi kemampuan zoom optikal.
Ini adalah sebab utama mengapa peranti pintar Asus Zenfone Zoom kini wujud di pasaran. Ia menggabungkan kemampuan sebuah telefon pintar dengan kamera digital dengan zoom optikal. Zenfone Zoom bukanlah peranti pertama di dalam kelas ini. Sebelum ini wujud Samsung Galaxy Zoom, Panasonic Lumix DMC-CM1 dan Nokia 808 PureView yang mempunyai kemampuan zoom optikal. Ketiga-tiga peranti tidak digunakan secara meluas jadi adakah Zenfone Zoom akan menjadi peranti pintar pertama degam zoom optikal yang berjaya menarik minat pengguna?
Spesifikasi & Rekaan
Asus Zenfone Zoom | |
---|---|
Skrin | 5.5″ IPS LCD FHD (403 ppi) |
Pemproses | 2.5 GHz Empat Teras Intel Atom Z3590 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 128 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB) |
Kamera Utama | 13 Megapixel OIS (3X Zoom Optikal) |
Kamera Depan | 5 Megapixel FHD |
Bateri | 3000 mAh (Tidak boleh taggal) |
SIM/Telefoni | Makro SIM/4G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | RM 2099 |
Secara dasarkanya Asus Zefone Zoom ZX551KL yang sedang kami ulas ini tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Asus Zenfone 2 ZE551ML yang kami ulas tahun lalu. Rekaan panel hadapan misalnya masih lagi sama. Aneh sekali pada model berwarna putih jenama Asus terletak pada bahagian dagu manakala pada model hitam ia terletak pada bahagian atas. Asus Zenfone Zoom hanya sedikit lebih panjang berbanding Zenfone 2.
Kemas kini pertama dilakukan pada pemproses yang digunakan. Kini ia diperkasakan pemproses Intel Atom Z3590 empat teras pada kelajuan 2.5 GHz berbanding Atom Z3580 empat teras pada kelajua 2.3 GHz. Kemasan sisi kini diperbuat daripada logam sepenuhnya. Sisi kini juga lebih bulat dan bukan lagi rata bagi memberikan keselesaan ketika digunakan.
Apabila peranti diputar perubahan paling utama mula kelihatan. Terdapat bonjolan besar berbentuk bulat yang menutupi mekanisme dan sensor kamera. Ia mempunyai rekaan serupa seperti yang kami lihat pada Lumia 1020. Sensor kamera masih lagi sebesar 13 Megapixel cuma kini ia mampu melakukan zoom optikal sebanyak tiga kali. Kamera hadapan masih lagi sebesar 5 Megapixel. Bonjolan pada panel belakang Zenfone Zoom sebenarnya lebih kecil dari yang kami sangkakan. Peranti Asus Zenfone 2 asal adalah peranti yang agak tebal (10.9 mm) dan bonjolan kamera hanya meningkatkan ketebalan kepada 12 mm. Dengan kata lain Zenfone Zoom adalah peranti pintar yang masih mudah dimasukkan ke dalam poket. Penambahan berat juga adalah kecil iaitu hanya 15 gram.
Tidak seperti Samsung Galaxy K Zoom, lensa kamera Zenfone Zoom tidak boleh memanjang keluar. Sebaliknya bagi memberikan kemampuan zoom optikal, sistem lensa periskop dihasilkan dengan kerjasama Hoya. Lensa-lensa di dalam bonjolan kamera bergerak secara mendatar selari dengan tubuh peranti dan bukannya secara menegak. Kamera yang digunakan pada Zoom juga kini mempunyai sistem OIS dan pemfokusan laser, dua fungsi yang tiada pada Zenfone 2.
Kedudukan butang kawalan suara yang dahulunya di bawah lensa kamera kini diubah ke sisi sebelah kanan. Butang kuasa dan suara (jenis rocker) diperbuat daripada logam. Binaan butang amat kukuh dan sedap dipegang. Berbeza sekali dengan butang plastik yang agak longgar pada Zenfone 2. Seperkara lagi yang kami sedari pada butang suara terdapat huruf W dan T, ini bagi menunjukkan pengguna butang mana perlu ditekan bagi melakukan zoom keluar dan masuk.
Pada sisi kiri yang sama turut disertakan dua butang khas untuk menangkap gambar dan merakam video. Kami percaya Zenfone Zoom ialah peranti pertama yang memberikan butang khas untuk rakaman video. Seperti butang kuasa dan suara, kedua-dua butang ini diperbuat daripada logam.
Bicu audio 3.5mm terletak pada bahagian atas manakala pada bahagian bawah terdapat port pengecasan MikroUSB serta lubang untuk tali lanyard. Tiga butang navigasi kapasitif terletak pada bahagian dagu. Butang home dihimpit oleh butang back pada sebelah kiri dan multi tasking pada sebelah kanan. Ketiga-tiga butang masih tidak berlampu.
Panel belakang masih boleh dibuka bagi memberikan akses kepada satu slot SIM Mikro dan kad MikroSD. Sunggupun panel ini boleh dibuka, bateri peranti sebesar 3000 mAh tidak boleh ditanggalkan. Bercakap tentang panel belakang, ia mempunyai tekstur seakan kulit tetapi sebenarnya diperbuat daripada plastik. Terdapat kawasan pemegang kecil pada bahagian bawah untuk memudahkan proses mengambil gambar.
Asus Zen UI
Zenfone Zoom menggunakan Android 5.0 dengan antaramuka Zen UI. Tiada perbezaan dengan apa yang kami lihat pada Zen UI sebelum ini. Kesemua fungsi yang dikaitkan dengan antaramuka ini dikekalkan. Wujud kustomasi antaramuka dan sokongan pergerakan jari. Seperti biasa apabila menggunakan Zen UI pengguna harus bersabar dengan jumlah aplikasi gendut yang disertakan. Sebaik sahaja peranti diaktifkan untuk kali pertama kami menyedari keperluan mengemaskini lebih daripada 20 aplikasi yang dihasilkan oleh Asus. Kesemua aplikasi Asus ini tidak boleh dinyahpasang dan hanya boleh dinyahaktifkan. Ini sekaligus memakan ruangan simpanan di dalam peranti.
Kamera
Daya tarikan utama Zenfone Zoom ialah kemampuan mengambil gambar dengan kualiti yang tinggi serta kemampuan zoom optikal. Berikut ialah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan peranti ini. Kesemua gambar diambil menggunakan tetapan automatik dan pada resolusi tertinggi 13 Megapixel. Pada tetapan ini gambar yang diambil mempunyai nisbah 4:3. Aplikasi kamera boleh dilancarkan pantas dengan menekan butang kamera khas pada sisi kanan peranti. Untuk melakukan pemfokusan pantas, butang hanya perlu ditekan separuh jalan. Tekanan penuh akan mengambil gambar secara terus.
Kesimpulan
Peranti di dalam keluarga Zenfone mendapat sambutan hangat di Malaysia tahun lalu kerana menggabungkan harga jualan yang mampu milik dan sistem operasi yang memberikan pelbagai pilihan kepada pengguna. Dengan Zenfone Zoom, Asus nampaknya mahu menunjukkan mereka juga mampu menghasilkan peranti dengan kemampuan optik yang baik . Dengan harga jualan RM 2099, ianya hampir dua kali ganda harga jualan Asus Zenfone 2 ZE551ML yang dijual pada harga RM 1299. Dari segi spesifikasi, perbezaan di antara kedua-dua peranti adalah amat kecil. Penambahan modul kamera yang lebih baik dengan kemampuan zoom optikal dan buatan lebih premium melonjakkan harga jualan peranti ini.
Adakah membeli peranti dengan kemampuan kamera yang tinggi masih lagi berbaloi? Eksperimen serupa yang dilakukan Nokia, Samsung dan Panasonic sebelum ini gagal menarik minat pengguna. Wujudkah pasaran untuk peranti seperti Zoom pada tahun 2016? Buat masa ini kami tidak boleh melakukan ramalah mengenai peranti ini. Kami akan melakukan ulasan mendalam kemampuan kamera Zenfone Zoom sebelum boleh mengatakan sama ada ianya berbaloi dimiliki berbanding Zenfone 2 ZE551ML yang sudahpun wujud di pasaran. Nantikan ulasan penuh peranti ini di Amanz dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.