Cari @ Amanz

Samsung sering kali memperkenalkan produk baru mereka bersama-sama pengenalan peranti flagship mereka seperti Galaxy S7. Terkini, ia dilaporkan Samsung mungkin memperkenalkan kamera realiti-maya yang boleh merakamkan gambar dan video 360-darjah menggunakannya, dinamakan sebagai Gear 360.

Samsung Project Beyond

Gear 360 ini dikatakan mungkin merupakan hasil sebahagian daripada Project Beyond daripada Samsung yang pernah dipertontonkan beberapa tahun dahulu. Kamera Gear 360 ini kelak dikatakan boleh dihubungkan ke telefon pintar menggunakan Bluetooth dan diuruskan menggunakan aplikasi dinamakan Gear 360 Connect. Ia mungkin ditujukan untuk digunakan bersama-sama telefon pintar berspesifikasi tinggi Samsung, seperti Galaxy S7.

Gear 360 ini dikatakan akan menyertakan dua kamera 180-darjah dengan lensa fisheye untuk merakamkan gambar 360-darjah. Kamera ini akan hadir dengan bateri terbina dan juga ruangan storan terbina untuk menyimpan hasil rakaman.

Pada bahagian perisian pula, Samsung akan menyediakan Gear 360 Gallery untuk melihat hasil rakaman, dan turut hadir dengan pelbagai kawalan rakaman seperti HDR, tetapan ISO dan sebagainya.

Samsung sebelum ini telah sedia memfokuskan kepada arena realiti-maya dengan memperkenalkan headset mereka, Gear VR – dan turut telah dipasarkan kepada umum. Langkah pengenalan kamera untuk rakaman ini mungkin salah satu perkara yang telah dijangka dan akan mengalakkan lebih ramai untuk hadir dengan kandungan 360-darjah.

Samsung menjadualkan tarikh 21 Februari 2016 ini untuk pengenalan produk baru mereka, dan mungkin kita akan mendengar lanjut mengenai produk ini ketika acara pengenalan Galaxy S7 berkenaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd