Cari @ Amanz

Epidemik virus Zika kini mencapai tahap bahaya dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia mengisytiharkannya sebagai masalah kecemasan di peringkat global. Ini meletakkan di tahap berbahaya seperti wabak Ebola yang menyerang Afrika Barat tahun lalu. Setakat ini 4000 kes bayi dengan kecacatan kepala mengecil, microcephaly dilaporkan di Brazil sejak Oktober tahun lalu. Penyakit ini merencatkan tumbesaran kepala dan otak. Setakat virus Zika sudah dikesan di 30 buah negara di seluruh dunia. Artikel ini ditulis bagi memberikan pencerahan mengenai virus yang sebelum ini jarang kita dengari.

1.Apakah Zika?

Zika ialah virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes. Ini ialah spesis nyamuk yang turut menyebarkan virus denggi dan Chikungunya . Sebelum kes dikesan di benua Amerika Selatan, kes hanya dikesan di Afrika, Kepulauan Pasifik dan juga Asia. Ia kali pertama ditemui di Uganda pada tahun 1947 pada populasi monyet . Kes pertama melibatkan manusia pula dikesan pada tahun 1954. Di Malaysia, ia kali pertama dikesan pada tahun 1978. Pada waktu tersebut ia turut dikesan di Indonesia dan Pakistan. Di bawah ialah gambar virus Zika. Ianya hanya sebesar 40 nanometer.

Virus-Zika-1

2. Dimanakah Zika Telah Dikesan?

Berikut ialah senarai terkini negara-negara yang melaporkan mengesan jangkitan virus Zika

Benua Amerika

  1. Barbados
  2. Bolivia
  3. Brazil
  4. Colombia
  5. Puerto Rico
  6. Costa Rica
  7. Curacao
  8. Republik Dominican
  9. Ekuador
  10. El Salvador
  11. French Guiana
  12. Guadeloupe
  13. Guatemala
  14. Guyana
  15. Haiti
  16. Honduras
  17. Martinique
  18. Mexico
  19. Nicaragua
  20. Panama
  21. Paraguay
  22. Saint Martin
  23. Suriname
  24. U.S. Virgin Islands
  25. Venezuela

Benua Oceania dan Kepulauan Pasifik

  1. American Samoa
  2. Samoa

Benua Afrika

  1. Cape Verde

Asia

  1. Thailand
  2. Indonesia

3. Apakah Simptom Yang Ditunjukkan?

Antara simptom yang ditunjukkan oleh penghidap ialah deman panas, pening kepala, konjuktivitis, kesakitan pada sendi dan ruam. Simptom yang ditunjukkan banyak persamaan dengan penghidap virus denggi. Paling merisaukan hanya 1 dari 5 individu yang dijangkiti virus ini akan menunjukkan simptom di atas. Anda mungkin sudah dijangkiti tetapi tidak menyedarinya.

Virus-Zika-2

4. Berapa Lamakah Tempoh Jangkitan?

Setakat ini tempoh jangkitan virus adalah di-antara beberapa hari sehingga seminggu.

5. Siapakah Yang Paling Berisiko?

Wanita yang mengandung dan bercadang untuk mengandung adalah dua golongan yang paling berisiko tinggi. Virus boleh dipindahkan kepada kandungan dan menyebabkan berlakunya kecacatan tumbesaran kepala dan otak yang diberi nama microcephaly.

6.Sekiranya Anda Kini Mengandung Adakah Anda Perlu Risau?

Ibu-ibu yang masih di dalam trimester pertama adalah golongan paling berisiko tinggi. Para saintis masih tidak mengetahui bagaimana virus ini dipindahkan ke dalam plasenta. Risiko di kalangan ibu-ibu selepas trimester pertama berkurangan namun mereka dinasihatkan supaya mengelakkan dari melawati negara-negara yang telah disenaraikan di perkara ke-2 di atas.

7. Apakah sebenarnya microcephaly?

Microcephaly ialah kerencatan pertumbuhan kepala dan otak penghidapnya. Ia hanya boleh dikesan di dalam rahim pada penghujung trimester kedua. Bayi yang menghidap microcephaly akan membesar dengan masalah kerencatan akal. Di dalam kes yang lebih serius, kematian akan berlaku kerana otak gagal mengawal fungsi asas organ tubuh.  Sebelum berlakunya epidemik Zika, sebanyak 150 kes microcephaly dikesan di Brazil. Sejak Oktober tahun lalu lebih dari 4000 kes dilaporkan di negara ini. Zika bukanlah satu-satunya sebab berlakunya microcephaly. Virus Rubella, penyalahgunaan dadah dan genetik luar biasa juga boleh menyebabkannya berlaku.

Virus-Zika-microcephaly

8.Adakah Zika Membawa Maut?

Tidak seperti jangkitan denggi yang boleh menjurus kepada demam denggi berdarah, setakat ini masih tiada kes kematian dilaporkan melibatkan Zika. Kes paling serius hanya melibatkan masalah lumpuh sementara dalam kalangan penghidap.

9.Apakah Rawatan Zika?

Tiada rawatan spesifik melainkan membanyakkan meminum air dan berehat.

10. Adakah Wujud Vaksin?

Setakat ini tidak ada virus yang dapat mengelakkan jangkitan. Sungguhpun begitu kerana pengisytiharan kecemasan yang dilakukan Pertubuhan Kesihatan Dunia, vaksin Zika kini sedang dibangunkan. Kos untuk menghasilkan vaksin biasanya menelan belanja ratusan juta dan bakal mengambil masa bertahun-tahun sebelum diluluskan. Memandangkan tiada vaksin yang boleh diambil, apakah yang boleh kita lakukan bagi mengurangkan risiko dijangkiti Vika? Pertama sekali ialah menggunakan ubat nyamuk bagi menghalau nyamuk. Kedua ialah memakai seluar dan baju lengan panjang bagi mengurangkan kebarangkalian digigit Akhir sekali ialah menutup tingkap rumah. Setakat ini tiada kes jangkitan Vika dilaporkan di Malaysia. Ini tidak bermakna kita oleh menghela nafas lega. Seperti yang kami tulis di perkara kedua di atas, kes telah dilaporkan di negara jiran Thailand dan Indonesia. Adakah baik sekiranya kita boleh mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan diri kita dari dijangkiti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd