Cari @ Amanz

Bagi para peminat peranti Android, salah satu keluarga peranti yang mungkin anda ingin cuba adalah peranti dibawah keluarga Nexus. Ini adalah kerana peranti dibawah keluarga Nexus dibangunkan bersama oleh pihak Google dan pengeluar yang dipilih mereka. Ia juga merupakan keluarga peranti yang menerima sokongan terus daripada pihak Google, menjadikan peranti Nexus menerima kemaskini Android dengan lebih pantas berbanding dengan ratusan peranti Android yang lain di pasaran.

Bersama-sama pengenalan Android 6.0 Marshmallow, pihak Google meneruskan tradisi dengan memperkenalkan telefon pintar Nexus terbaru mereka. Dua peranti telah diperkenalkan, iaitu LG Nexus 5x dan juga Huawei Nexus 6P.

Pihak LG, seperti biasa masih tidak kedengaran sebarang penawaran daripada mereka untuk pasaran tempatan, sebaliknya pihak Huawei seperti peranti-peranti mereka yang lain telah membawa masuk Nexus 6P dengan pantas untuk pasaran tempatan.

Huawei Nexus 6P dijual pada harga RM2698 di Malaysia, dan boleh dibeli terus melalui VMall, atau beberapa pengedar tempatan yang lain.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan berasaskan logam, dilengkapi sokongan pengimbas cap jari untuk sekuriti lebih baik.
  • Kemaskini Android terus daripada Google, sentiasa menerima fungsi dan kemaskini sekuriti yang pantas berbanding lain.
  • Menyertakan kamera terbaik berbanding peranti Nexus yang lain.
  • Kebolehan mengecas bateri dengan pantas.
  • Penggunaan USB Type-C membawa kepada kekangan untuk beberapa aksesori sedia ada digunakan bersama.
  • Aplikasi Photos yang tidak begitu mesra pengguna untuk digunakan sebagai aplikasi galeri.
  • Tiada sokongan mikro-SD untuk memperluaskan ruangan storan.

Rekabentuk

huawei-nexus-6p_01

huawei-nexus-6p_02

Huawei Nexus 6P hadir dengan skrin bersaiz 5.7-inci. Saiz skrin ini boleh dikatakan agak besar bagi kebanyakkan orang, tetapi mungkin biasa bagi mereka yang sedia menggunakan peranti dengan skrin besar. Saya sendiri sebelum ini menggunakan Mi Note, dan peralihan kepada skrin Nexus 6P yang besar tidak membawakan perbezaan yang besar.

Nexus 6P
Skrin 5.7″ (2560×1440)
Pemproses Snapdragon 810 2.0GHz
GPU Adreno 430
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 GB
Kamera Utama 12.3 Megapixel f/2.0
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.4
Bateri 3450mAh
SIM/Telefoni Nano-SIM / 4G
Harga Jualan RM 2698

Nexus 6P turut membawakan binaan berasaskan logam, dan bahagian tepi belakangnya sedikit melengkung, memberikan keselesaan pada tangan ketika digunakan. Dengan menggunakan rekaan berasaskan logam sepenuhnya, tiada sebarang bahagian peranti dapat ditanggalkan – dan pengguna perlu menggunakan pin khusus untuk tanggalkan SIM.

Butang kuasa untuk Nexus 6P diposisikan pada bahagian tepi peranti, dan ia membawakan sedikit tekstur untuk memudahkan pengguna membezakannya berbanding dengan butang kawalan audio dibawahnya. Dibahagian bawah pula, Nexus 6P menggunakan pengecas berasaskan USB Type-C.

Penggunaan USB Type-C menawarkan kebolehan memasang kabel secara terbalik – tanpa risau silap “cucuk” seperti menggunakan kabel mikro-USB sebelum ini. Pihak Huawei menyertakan dua kabel USB TYpe-C didalam kotak yang dijual, iaitu satu kabel USB Type-C ke USB Type-C, dan satu lagi adalah kabel USB ke USB Type-C.

Pada bahagian belakang, pihak Huawei menyertakan pengimbas cap jari, dan sebuah bar berwarna hitam yang mempunyai kamera 12-megapixel. Bar ini membawakan rekaan berasaskan kaca, dan beberapa laporan sebelum ini memperlihatkan ia mudah retak. Kami mendapat maklumbalas daripada pihak Huawei mengatakan versi yang dijual di Malaysia telah memperbaiki kesilapan berkenaan – malah set yang digunakan oleh saya sendiri tidak mengalami sebarang keretakkan – malah tiada calar sepanjang digunakan.

Binaan Huawei Nexus 6P secara keseluruhan amat baik, malah walupun terjatuh beberapa kali, tiada sebarang kerosakkan nyata atau calar yang berlaku. Cuma satu perkara yang kami lihat adalah walaupun ia menggunakan rekaan berasaskan logam, Nexus 6P masih memerangkap kesan cap jari pada kerangka belakang. Namun ia tidak begitu nyata dan sukar untuk dilihat pada pandangan kasar – berbanding penggunaan peranti berasaskan kaca.


Perisian

Selain daripada hardware, salah satu perkara yang membuatkan sesuatu telefon tersebut beroperasi dengan cemerlang adalah sistem operasi dan perisiannya. Huawei Nexus 6P ini dijana menggunakan Android 6.0 Marshmallow – iaitu sistem operasi paling terkini daripada Google. Menggunakan sistem operasi Android, ia menyokong pelbagai aplikasi yang terdapat di pasaran, dan menawarkan pelbagai sokongan asas yang diperlukan seseorang. Melalui penggunaan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow, ia turut menyertakan beberapa fungsi khusus yang masih tidak disertakan pada peranti lain buat masa ini.

Now on TapNow On Tap

Now on Tap merupakan salah satu fungsi menarik pada Android 6.0 Marshmallow, membolehkan anda membuat carian automatik daripada sebarang tetingkap aplikasi dengan hanya menekan butang Home untuk seketika. Pada awalnya, kami jarang menggunakan fungsi ini, tetapi ia menjadi agak berguna ketika sedang melakukan carian atau ingin mengetahui sesuatu perkara dengan lebih lanjut serta merta. Mungkin ada baiknya juga sekiranya pihak Google menyertakan sebuah butang akses pantas untuk mengakses fungsi sama pada desktop.

Dengan penggunaan butang Home untuk Now On Tap, untuk mengakses Google Now pula, pengguna perlu ke halaman utama , dan menatal ke bahagian paling kiri, dan ia akan memaparkan pelbagai info daripada Google Now yang berkait dengan anda di sana.

Kawalan Kebenaran Aplikasi

Pihak Huawei sedia menyertakan fungsi seumpama ini pada EMUI mereka, tetapi ini adalah kali pertama pihak Google menyertakannya pada sistem operasi Android mereka. Melaluinya, pengguna boleh mengawal apakah akses maklumat dan data yang diminta oleh sesuatu aplikasi, dan memilih untuk membenarkannya ataupun sebaliknya. Implementasi ini adalah lebih efektif berbanding penggunaan pada beberapa versi Android yang diubah-suai oleh pengeluar lain, memandangkan perkara ini boleh turut diambil kelebihan oleh pembangun aplikasi.

Pengimbas Cap Jari Yang Diintegrasikan Dengan Android
Terdapat sejumlah peranti di pasaran yang menggunakan pengimbas cap jari, tetapi Nexus 6P yang pertama mengambil kelebihan penggunaan API tersendiri Android. Anda mungkin tertanya-tanya mengenai apakah kelebihannya berbanding yang lain. Melaluinya, kini aplikasi lain turut boleh mengambil kelebihan tersebut dan boleh mengintegrasikannya untuk sokongan sekuriti tambahan.

Daripada percubaan kami, ia berfungsi dengan baik, walaupun terdapat beberapa kali ia mengalami lengah masa. Bagi kami, pengimbas cap jari yang digunakan oleh Huawei pada Honor 7 adalah lebih baik berbanding dengan Nexus 6P dari segi kelajuan ia dapat merakamkan jari seseorang pengguna.

DozePaparan Aplikasi Yang Sering Dibuka

Ini adalah salah satu fungsi yang agak jarang saya gunakan, memandangkan kebanyakkannya telah diletakkan pada bahagian skrin utama. Pada Andorid 6.0 Marshmallow pihak Google dilihat telah menyertakan sokongan pintar, dimana ia memaparkan empat aplikasi yang sering diakses oleh anda pada bahagian paling atas di talam aplikasi. Aplikasi ini juga turut disusun mengikut peredaran hari.

Sebagai contoh, sekiranya pada waktu malam anda sering membuka Instagram, Twitter, dan jam penggera, ketiga-tiganya akan dipaparkan pada posisi paling atas terlebih dahulu, dan kemudian baru diikuti oleh susunan aplikasi lain mengikuti abjad.

Doze Untuk Ketahanan Bateri Yang Lebih Lama

Pada kebanyakkan peranti Android sebelum ini, salah satu masalah yang sering saya hadapi adalah penggunaan bateri yang tinggi ketika waktu tengah malam – terutamanya ketika tidur. Dan ini membuatkan kadang-kala kehilangan tenaga bateri yang tinggi ketika tidur, dan memerlukan anda mengecas peranti lebih awal daripada kebiasaan.

Untuk mengatasi masalah ini, fungsi Doze disertakan. Melaluinya, ia mematikan kekerapan aplikasi berjalan pada latar ketika tidak digunakan, sekaligus menjimatkan penggunaan bateri peranti.

Dengan nama keluarga Nexus, ia juga menjadi telefon pintar yang menerima kemaskini Android mahupun sekuriti paling pantas jikalau dibandingkan dengan puluhan peranti diluar sana. Setiap awal bulan, Google akan memperkenalkan kemaskini untuk peranti ini, yang mana boleh dimuat-turun dan dipasang terus. Daripada pengamatan kami, kemaskini yang diumumkan oleh Google untuk pasaran Amerika Syarikat akan hadir ke peranti kami lebih kurang sekitar dalam tempoh seminggu. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang tidak sabar menantikan kemaskini, anda boleh memuat-turun firmware terus daripada Google dan flash terus ke peranti anda serta-merta.


Prestasi

Menguasakan Huawei Nexus 6P ini adalah cip pemprosesan Snapdragon 810 pada kelajuan 2GHz. Seperti ramai sedia maklum, cip pemprosesan Snapdragon 810 sering dikaitkan dengan masalah kepanasan melampau. Walaubagaimanapun, Nexus 6P yang digunakan oleh kami tidak mempunyai masalah berkenaan, dan segalanya berjalan dan beroperasi dengan lancar. Tiada sebarang masalah kepanasan yang dirasai – apatah lagi jikalau dibandingkan dengan Xperia Z5 yang menggunakan cip sama yang mempunyai masalah kepanasan melampau berkenaan.

Google Nexus 6PSelain cip Snapdragon 810, melengkapkan peranti ini juga adalah grafik Adreno 430, dan memori 3GB RAM. Kombinasi ketiga-tiga ini, menawarkan pengalaman penggunaan peranti yang sangat lancar tanpa sebarang masalah.

Memainkan permainan menggunakan peranti ini adalah sangat baik. Beberapa permainan telah diuji oleh kami, termasuk Need for Speed Most Wanted yang beroperasi tanpa masalah menggunakannya. Penggunaan skrin resolusi tinggi turut menawarkan pengalaman permainan dan penggunaan peranti yang amat baik walaupun pada keadaan cahaya berbeza. Peranti ini turut menggunakan speaker pada bahagian hadapan untuk membolehkan anda menikmati media dengan baik – terutamanya ketika menonton video.

Seperti ramai sedia maklum juga, prestasi cemerlang yang dibawakan oleh Nexus 6P bukan hanya kerana spesifikasinya sahaja, sebaliknya juga kerana penggunaan Android tanpa sebarang penambahan yang menjadikan peranti berat dan memerlukan penggunaan memori tambahan. Kemaskini Android semasa setiap bulan juga memastikan peranti anda kekal dalam versi yang dioptimasikan paling terkini.


Kamera

Bercakap mengenai setiap peranti pada masa kini, salah satu perkara yang sering dipersoalkan pengguna adalah keupayaan kameranya. Nexus 6P menyertakan kamera belakang 12.3-megapixel dan kamera hadapan 8-megapixel. Kedua-duanya menawarkan kebolehan rakaman gambar yang baik dibawah pelbagai keadaan cahaya.

Daripada penggunaan kami, ia menghasilkan rakaman gambar dan video yang baik. Seperti ramai sedia maklum, bercakap mengenai keluarga Nexus sebelum ini, ramai yang kecewa dengan penawaran kameranya, dan perkara ini telah diatasi melalui Nexus 6P yang dihasilkan Huawei ini.

Walaubagaimanapun, bagi anda yang sedia menggunakan pelbagai peranti Android yang lain di pasaran, salah satu perkara yang mungkin tidak digemari anda adalah aplikasi kameranya. Satu adalah ikonnya yang tidak begitu memperlihatkan ia sebuah kamera, dan satu lagi adalah penawaran kawalan rakaman yang agak terhad jikalau dibandingkan dengan pelbagai kamera lain di pasaran.

Bercakap mengenai kamera juga, ia berkait dengan aplikasi galeri. Pada Nexus 6P, ia menggunakan aplikasi Google Photos. Bagi kebanyakkan pengguna Android tegar, anda mungkin lali dengan Google Photos, dan mungkin anda biasa mengakses pelbagai folder gambar berbeza menggunakannya. Namun, untuk pengguna umum lain, mungkin ini agak mengelirukan, dan tidak begitu mesra untuk anda. Bersyukur kerana ia menggunakan platform Android, anda mempunyai ratusan pilihan aplikasi galeri yang mungkin memenuhi citarasa anda.


[amanz-gallery]


Rumusan

Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kualiti yang dibawakan oleh Nexus 6P – dan sangat mengemari kemaskini bulanan yang ditawarkan oleh Google untuknya – memastikan anda sering menggunakan versi Android terkini. Penggunaan kameranya juga adalah baik untuk saya. USB Type-C agak dibenci saya pada awalnya memandangkan kebanyakkan aksesori lain seperti powerbank, storan USB dan sebagainya menggunakan mikro-USB. Tetapi, kini ia sudah menjadi kebiasaan, dan penggunaan USB Type-C tidak lagi menjadi suatu masalah besar.

Pada harga RM2698, Nexus 6P boleh dikatakan merupakan salah satu peranti flagship yang baik – bukan sahaja daripada penawaran, tetapi juga nilai yang dibayar memandangkan kebanyakkan peranti lain telah mencapai harga jualan melangkaui RM3,000, tetapi sekadar menawarkan fungsi yang hanya ala-kadar sahaja.

Pihak Huawei menjual Nexus 6P di Malaysia melalui beberapa saluran, dan salah satunya adalah melalui laman VMall.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan berasaskan logam, dilengkapi sokongan pengimbas cap jari untuk sekuriti lebih baik.
  • Kemaskini Android terus daripada Google, sentiasa menerima fungsi dan kemaskini sekuriti yang pantas berbanding lain.
  • Menyertakan kamera terbaik berbanding peranti Nexus yang lain.
  • Kebolehan mengecas bateri dengan pantas.
  • Penggunaan USB Type-C membawa kepada kekangan untuk beberapa aksesori sedia ada digunakan bersama.
  • Aplikasi Photos yang tidak begitu mesra pengguna untuk digunakan sebagai aplikasi galeri.
  • Tiada sokongan mikro-SD untuk memperluaskan ruangan storan.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd