Harga bahan api fosil sekarang adalah amat rendah tetapi ini tidak bermakna usaha untuk menjana tenaga elektrik dari sumber lestari harus dihentikan. Penurunan harga minyak mentah sekarang adalah sementara dan pasti akan melonjak semula dalam masa terdekat. Oleh itu usaha yang dijalankan oleh kerajaan Perancis ini adalah amat membanggakan. Panel solar sepanjang 1000 Kilometer akan dipasang dalam masa 5 tahun di Perancis bagi membekalkan tenaga elektrik mesra alam kepada 5 Juta penduduk.
Panel solar yang dibangunkan oleh Wattway ini hanya setebal 7 milimeter dan boleh digamkan terus pada permukaan jalan tar. Setiap 20 meter persegi panel solar Wattway mampu membekalkan tenaga elektrik untuk sebuah rumah. Di dalam ujian yang dijalankan, panel ini mampu bertahan kitaran dilalui 1 Juta kenderaan atau bersamaan dengan hayat penggunaan selama 20 tahun. Tidak seperti panel solar biasa, permukaan panel solar Wattway ini kasar bagi memastikan kenderaan tidak tergelincir ketika bergerak di atasnya. Ini bukanlah projek pertama yang memasang panel solar pada permukaan jalan. Di Belanda mereka mempunyai projek SolarRoad yang memasang panel solar pada laluan basikal. Negara Eropah sudah bersedia menghadapi dunia pasca bahan api fosil. Bagaimana pula dengan kita?