Cari @ Amanz

Keretakan skrin ialah kerosakan paling kerap berlaku pada peranti pintar. Kami sendiri pernah mengalami masalah keretakan skrin sebanyak lima kali. Kos menggantikan skrin adalah amat tinggi, sekitar 25% harga asal peranti dan ianya tidak termasuk di dalam jaminan pengeluar. Jadi tidak mengejutkan kebanyakan pemilik peranti terus menggunakan peranti dengan skrin retak kerana tidak mampu membayar kos baik pulih. Gareth Cross ialah seorang pemilik Apple Watch Sport di United Kingdom. Beliau membeli sebuah Apple Watch sport dan selepas 10 hari menyedari skrin jam tangan pintar beliau mengalami keretakan (gambar di bawah) . Jam tangan ini terus dihantar ke Apple Store untuk dibaik pulih namun pihak Apple enggan menggantikannya secara percuma.

Apple-Watch-Retak

Berang dengan tindakan Apple dan jam tangan pintar yang retak terlalu pantas beliau bertindak mendapatkan bantuan mahkamah. Menurut Gareth, keengganan Apple membaiki skrin secara percuma melanggar Akta Jualan Barangan UK. Akta ini ada menyebut barangan yang dijual perlu berfungsi seperti diiklankan. Apple Watch dijual dengan jaminan skrin ion-x yang digunakan adalah tahan hentakan. Selepas menunggu selama enam bulan, mahkamah memutuskan berpihak dengan Gareth dan Apple perlu membayar ganti rugi berjumlah £429. Ini bagi meliputi kos guaman dan harga jam Apple Watch Sport baru. Apple kerap memenangi kes dan kekalahan seperti ini amat jarang berlaku. Akibat kes ini besar kemungkinan Apple tidak akan lagi meletakkan jaminan Apple Watch mereka tahan hentakan selepas ni bagi mengelakkan mereka diheret oleh pengguna lain ke mahkamah di masa hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd