Sony Menjangkakan Penggunaan Dwi-Kamera Akan Berkembang Pada Tahun 2017

Sony Menjangkakan Penggunaan Dwi-Kamera Akan Berkembang Pada Tahun 2017

Diterbitkan pada Feb 4, 2016 oleh .

Sistem kamera berkembar kali pertama diperkenalkan pada peranti pintar HTC Evo 3D. Ia diperkenalkan ketika dunia masih baru diperkenalkan semula kepada teknologi paparan 3D. Tetapi umum kita ketahui sekarang kemampuan mengambil video dan juga gambar 3D tidak mendapat sambutan pengguna. Kualiti gambar dan video biasa lebih berguna dari sistem kamera berkembar. HTC kemudian memperkenalkan sistem Duo Camera yang juga nampaknya tidak mendapat sambutan menggalakkan. Jadi apakah masa depan peranti dengan kamera berkembar? Menurut Sony ianya akan menjadi popular menjelang 2017.

Honor 6 Plus

Sony mengesahkan mereka sudahpun mempunyai sistem dwi-kamera mereka sendiri yang bakal digunakan oleh pengeluar peranti terkemuka. Identiti pengeluar ini tidak diumumkan Sony tetapi besar kemungkinan adalah Apple dan seakan mengesahkan penggunaan kamera berkembar pada iPhone 7 Plus kelak. Sony percaya selepas dwi-kamera mereka digunakan pengeluar ini, pengeluar lain akan berpusu-pusu menghasilkan peranti utama menggunakan teknologi yang sama pada tahun 2017. Apakah kelebihan sistem dwi-kamera berbanding kamera mono-lensa sekarang? Ia mempertingkatkan kemampuan mengambil gambar di dalam situasi pencahayaan rendah.  Gambar lebih terang dengan masalah noise dikurangkan. Dwi-kamera juga mempertingkat kemampuan mengambil gambar. Dua kamera berkembar dilengkapi dengan dua lensa berbeza. Satu dengan lensa sudut lebar untuk mengambil gambar dekat dan sebuah lagi lensa untuk mengambil gambar objek yang jauh.Peranti pintar kini berfungsi seperti kamera DSLR dengan dua set lensa yang boleh ditukar ganti mengikut keperluan.

Sekiranya iPhone 7 Plus menggunakan teknologi ini kami pasti ia akan menjadi ikutan pengeluar lain dan ramalan Sony akan menjadi kenyataan. Sama ada setuju ataupun tidak, Apple kerap menjadi ikutan pengeluar lain. HTC lebih awal memperkenalkan teknologi gambar bergerak Zoe mereka tetapi tidak menjadi ikutan ramai. Hanya selepas iPhone 6S memperkenalkan Live Photo fungsi ini mula mendapat perhatian. Jadi jangkaan Sony mungkin menjadi realiti.


TIPS & ULASAN