Mozilla hari ini berkongsi lanjut mengenai status Firefox OS untuk telefon pintar. Melalui perkongsian Mozilla, mereka mengatakan telefon pintar Firefox OS tidak lagi akan menerima kemaskini selepas versi Firefox OS 2.6. Para pembangun Firefox OS untuk telefon juga akan dipindahkan ke bahagian lain selepas bulan Mei 2016 ini.
Ini sekaligus memperlihatkan tiada lagi sokongan yang akan disediakan untuk pengguna peranti Firefox OS selepas tarikh tersebut – dan Mozilla akan lebih memfokuskan pembanguna sistem operasi berasaskan web mereka untuk peranti-peranti berhubung (IoT).
Seperti ramai sedia maklum, arena peranti mudah-alih kini dipegang oleh Android dan iOS. Malah, pihak Microsoft dengan jutaan ringgit untuk dibelanjakan sendiri menghadapi cabaran tinggi dalam memasarkan Windows 10 Mobile. Mungkin ini membuatkan pihak Mozilla menghentikan pembangunan untuk sistem operasi berkenaan.
Sehingga kini, peranti menggunakan Firefox OS hanya dipasarkan di beberapa buah negara sahaja, dan hanya beberapa pengeluar sahaja yang mengeluarkan peranti berkenaan, dan salah satunya adalah Alcatel.