Cari @ Amanz

Kami meminati siri manga super ganas Battle Royale kerana ianya mempunyai premis yang unik. Lima puluh orang pelajar sekolah menengah akan dipilih untuk menyertai pertandingan bertarung sehingga hanya seorang peserta yang masih hidup diisytiharkan juara. Manga ini menerima kritikan hebat oleh warga Jepun kerana dikatakan menggalakkan keganasan di kalangan remaja. Sungguhpun begitu ia menerima sambutan luar biasa kerana jalan cerita yang tidak pernah dipaparkan sebelum ini. Ia kemudiannya dijadikan sebuah filem dengan lakonan Beat Takeshi. Penonton tempatan pastinya terkejut dengan watak kejam Takeshi di dalam filem ini kerana beliau lebih dikenali sebagai pengacara rancangan kelakar Istana Takeshi.

The-Culling-Logo

Battle Royale kemudian “mengilhamkan” siri buku Hunger Games yang kemudian turut menjadi siri filem yang mendapat sambutan menggalakkan. Setakat ini tidak ada permainan komputer yang dibuat berdasarkan siri Battle Royale dan Hunger Games. The Culling ialah sebuah permainan video multiplayer yang mempunyai konsep seakan dua siri yang kami sebutkan ini. 16 orang pemain diberikan masa 20 minit untuk membunuh dan menjadi peserta tunggal yang masih hidup. Senjata dikutip dari alam persekitaran dan juga boleh dibuat sendiri. Perangkap juga boleh diletakan bagi membunuh pihak lawan. Dari trailer yang dihasilkan ianya sebuah permainan death match yang lama kami inginkan. Ianya akan boleh diakses melalui Steam pada 8 Mac akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd