Pada hari ini, kebanyakkan komen yang sering kita dengar dan baca mengenai penawaran internet di Malaysia, adalah berkaitan dengan harganya. Menyentuh mengenainya, kini Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengatakan kerajaan mungkin membuka pasaran penyedia internet di Malaysia yang membolehkan harga ditetapkan oleh permintaan pasaran.
Pada hari ini, pengguna boleh melanggan untuk perkhidmatan internet berkelajuan tinggi pada harga bermula RM128 untuk 10Mbps, disamping ada yang menawarkan pelan sehingga 100Mbps pada harga RM179.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut menekankan yang mana harga internet sepatutnya mampu milik, dan ia tidak bermakna sekiranya internet yang laju ditawarkan pada harga yang mahal jauh daripada kemampuan pengguna.
Dengan membuka pasaran, ia akan membolehkan persaingan sihat berlaku, dan menawarkan harga internet yang lebih rendah.
Sebelum ini, myRepublic telah menyatakan hasrat untuk memasuki pasaran Malaysia, dan menawarkan internet pada kelajuan tinggi dengan harga yang lebih rendah. Tetapi, ia mungkin mengambil masa bertahun sebelum penawaran mereka ditawarkan secara meluas.
Pada masa yang sama, ia turut ditekankan yang mana SKMM sedia maklum berkenaan dengan masalah yang dialami pengguna ABN Xcess – termasuk ketidak-bolehan mengakses internet, dan telah mengambil tindakan terhadap mereka.