Pada pendapat kami siri Hitman akan sentiasa tersenarai sebagai antara permainan jenis stealth terbaik pernah dihasilkan setanding dengan Splinter Cell dan Thief. Sekiranya anda benar-benar menghayati watak sebagai seorang pembunuh upahan, anda akan melakukan setiap kontrak tanpa perlu menembak sebutir peluru. Hitman menarik kerana setiap misi boleh diselesaikan dengan pelbagai cara dan teknik pembunuhan yang unik.Kali terakhir permainan ini dihasilkan ialah pada tahun 2012 dengan Absolution. Secara peribadi kami merasakan ini bukanlah edisi yang terbaik kerana mengubah “resepi” yang membuatkan Blood Money edisi terbaik setakat ini.
Hitman akan kembali menemui peminat Mac ini. Tetapi sebuah acara Beta akan dilangsungkan pada 12 Februari ini untuk pemilik PlayStation 4 dan 19 Februari untuk pemilik PC. Untuk mengakses acara Beta anda perlu melakukan pra tempahan permainan penuh sebelum 12 hari bulan ini. Anda kemudian akan diberikan akses kepada misi prolog yang menunjukkan bagaimana Agent 47 mula menyertai ICA dan pertemuan pertama dengan Diana Burnwood. Hitman terkini ini adalah berbeza dari edisi sebelum ini kerana dihasilkan secara berepisod. Misi baru akan dikeluarkan secara bulanan dan perlu dimuat turun. Kami berharap pasukan IO Interactive akan mengembalikan kehebatan siri permainan ini. Ini adalah perlu untuk kami melupakan memori menonton filem Hitman Agent 47 yang merosakkan imej Agent 47 sebagai pembunuh upahan terbaik di dunia.