7 Fungsi Twitter Yang Paling Kami Mahukan

7 Fungsi Twitter Yang Paling Kami Mahukan

Diterbitkan pada Feb 11, 2016 oleh .

Twitter menunjukkan pertumbuhan pengguna negatif pada suku terakhir tahun lalu. Beberapa inovasi yang diperkenalkan oleh mereka seperti susur masa algoritma, moments, hashmoji dan sokongan GIF beranimasi nampaknya gagal untuk mengekalkan minat pengguna. Mereka juga merancang untuk memberikan had tulisan sehingga 10000 aksara kepada pengguna. Kesemua fungsi baru ini tidak pernah diminta oleh pengguna. Berikut ialah tujuh fungsi yang paling kami mahukan di Twitter dari pandangan seorang pengguna tegar media sosial ini.

1.Suntingan Tweet

Fungsi paling dimahukan oleh pengguna sejak Twitter mula beroperasi ialah fungsi menyunting tweet yang telah dihantar. Suntingan perlu bagi membaiki kesalahan ejaan dan tata bahasa yang kerap dilakukan pengguna. Kadang kala kesilapan ejaan yang disedari selepas tweet menerima ratusan RT dan untuk memadamnya terasa rugi pula. Suntingan juga berguna sekiranya anda tertulis fakta yang salah. Plaing berguna sekiranya tweet asal mengenai kehilangan ahli keluar contohnya boleh disunting kemudian boleh dikemas kini dengan status pencarian selepas beberapa hari. Tiada lagi masalah tweet sudah berusia berbulan lamanya dengan fakta yang salah masih di RT oleh pengguna yang tidak tahu tahu individu di dalam tweet tersebut mungkin sudah ditemui orang ramai.

Edit-Tweet

2.Carian Lebih Teperinci Pada Aplikasi Rasmi

 

Sistem carian lebih terperinci dan berkuasa ini ada kena mengena dengan masalah yang kami hadapi ketika mencari tweet lama dari senarai Like. Alangkah baiknya jika sistem carian Twitter boleh diperincikan hanya untuk mencari kata kunci tertentu dari Like, akaun yang diikuti ataupun mentions yang diterima. Kesemua fungsi yang kami senaraikan ini wujud pada aplikasi Tweetbot. Ia boleh dilakukan dengan sekelip mata. Aneh sekali sistem carian pada aplikasi rasmi masih lagi di takuk lama dan menjengkelkan untuk digunakan. Carian yang boleh dilalukan terlalu meluas dan kerap kali menunjukkan tweet yang bukan anda mahukan. Fungsi ini sudah wujud di Tweetbot sejak lima tahun yang lalu. Apakah alasan aplikasi rasmi Twitter masih ketinggalan?

Fav-twitter-likes

3.Susur Masa List Terbina Pada Aplikasi Rasmi

Mungkin ramai tidak menyedari anda boleh menghasilkan senarai khas (List) untuk akaun Twitter yang anda ikuti. Sebagai contoh akaun @Amanz dan @LowYatNET boleh disenaraikan sebagai “Twitter Teknologi”. Menerusi Tweetdeck pengguna kemudian boleh memaparkan hanya dua akaun ini di dalam lajurnya sendiri. Bagi mereka yang mengikuti ratusan akaun, fungsi memaparkan susur masa untuk senarai khas tertentu ini memudahkan anda memisahkan tweet peribadi dari rakan dan tweet dari akaun berita. Tweetdeck sudah memperkenalkan fungsi ini sejak kali pertama ia wujud. Aneh sekali walaupun mereka sudah dibeli oleh Twitter, fungsi ini masih belum kelihatan pada aplikasi rasmi Twitter.

Ia hanya boleh diakses dengan menekan butang profil, pilih tetapan List dan kemudian pilih senarai yang mahu dilihat. Tiga langkah perlu dilakukan untuk membaca tweet dari list tertentu adalah tidak mesra pengguna. Pada Tweetdeck, List tertentu boleh dipaparkan selama-lamanya pada antaramuka aplikasi. Pengguna juga boleh menyusun urutan lajur dipaparkan. Bagi seorang power user Twitter, ketiadaan kustomasi seperti Tweetdeck pada aplikasi rasmi Twitter adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

Susur-masa

4.Susunan LIKE Menurut Bila Ia Disukai

Tindakan Twitter mengubah Favorite kepada Like menerima reaksi dari pengguna tahun lalu. Ini adalah kerana ia seperti meniru Facebook yang sebenarnya dibenci oleh pengguna Twitter. Hanya perubahan pada nama sahaja dilakukan tetapi bagaimana senarai Like dipaparkan apabila diakses masih lagi berserabut dan tidak masuk akal. Apakah maksud kami dengan tidak masuk akal? Senarai Like disusun mengikut bilakah tweet tersebut dihantar dan bukannya bilakah anda menekan butang Like. Anda pastinya lebih mengingati bilakah anda Like sesuatu tweet berbanding bilakah ia dihantar oleh penulis tweet. Sudah beratus kali kami terpaksa mentatal senarai Like kami untuk mencari sebuah tweet lama.

Pada waktu sama alangkah bagusnya jika Like juga boleh mempunyai folder yang ditetapkan sendiri oleh pengguna. Like ini adalah sama seperti Bookmark pada pelayar web. Kami mempunyai beberapa Bookmark yang disusun mengikut kategori. Jika Like boleh dimasukkan ke dalam foler tertentu ia akan lebih memudahkan proses mencarinya semula di masa hadapan. Kini tweet “Kalau Chelsea tak menang liga tahun ini aku akan pakai baju Man U seminggu” yang dihantar kawan anda yang angkuh Ogos lalu boleh disimpan di dalam folder “Bola Sepak” dan digunakan semula sebagai bukti Mei hadapan. Mengikut sistem susunan Like sekarang, anda perlu mentatal ratusan tweet yang anda sukai sepanjang tahun untuk menemuinya semula. Sungguh tidak mesra pengguna.

 

5. Fungsi Memadam Tweet Secara Pukal

Kami sudah menulis lebih 100 000 tweet sejak menyertai Twitter beberapa tahun yang lalu. Tetapi 99% tweet yang dihantar sebelum 2011 adalah sampah sarak Internet yang seharusnya dilupuskan. Sehingga kini Twitter masih belum memberikan pilihan untuk pengguna memadam tweet-tweet lama ini secara pukal. Terdapat beberapa perkhidmatan memadam tweet disediakan oleh pihak ketiga seperti DeleteTwitter. Tetapi perkhidmatan ini hanya memadam tweet yang dimuat naik selepas perkhidmatan dimulakan. Tambah menjengkelkan Twitter untuk web tidak boleh memaparkan tweet lama anda. Untuk memadam secara manual kesemua nukilan sampah lama anda juga tidak mampu dilakukan.

 

6.Pengharaman BOT

Bot ialah akaun Twitter palsu yang dicipta untuk meningkatkan jumlah “peminat”. Ianya digunakan oleh ribuan selebriti, ahli politik dan tweetfemes untuk  menunjukkan diri mereka popular di alam maya. Melalui pemeriksaan rambang beberapa tahun yang lalu. Kesemua ahli politik di Malaysia didapati mempunyai pengikut yang terdiri daripada bot-bot avatar telur ayam. Jumlah “jutaan penyokong” ini kemudian diuar-uarkan dan dijadikan tolok membuktikan mereka dicintai oleh rakyat jelata. Bot juga digunakan oleh individu tertentu untuk melakukan spamming bagi mempopularkan hashtag mereka.

Hashtag #Merdeka55 empat tahun yang lalu dikatakan adalah yang paling banyak digunakan dalam masa sejam sehingga mencecah 3.6 juta tweet. Ia kemudian diberikan anugerah oleh Malaysia Book of Record sebagai hashtag paling popular dalam sejarah Malaysia. Tetapi selepas audit dilakukan oleh Polittweet, mereka mendapati ribuan bot digunakan untuk mempopularkan hashtag ini secara sintetik. Tweet yang sama dihantar oleh ratusan akaun dari lokasi yang sama. Ini membuktikan bot digunakan. Kenapa kami mahukan bot diharamkan? Kerana ianya kepalsuan dan kami bencikan kepalsuan di dalam kehidupan. Ia mencipta delusi dan tidak menunjukkan realiti sebenar. Kami memohon Twitter memadan akaun bot sama seperti yang dilakukan oleh Instragram tahun lalu sehingga mencalarkan ego selebriti syok sendiri seperti Akon.

PoliTweet

7. Muat Turun GIF

Muat naik gambar GIF disokong secara terus oleh Twitter sejak tahun lalu. Tiada lagi keperluan memberikan pautan IMGUR seperti sebelum ini. Sokongan GIF ini adalah antara fungsi yang turut dimahukan pengguna dan kami berterima kasih Twitter mendengar permintaan kami. Twitter juga dilihat memberikan butang khas GIF ketika mengarang tweet pada beberapa pengguna terpilih minggu lalu. Jelas sekali mereka menyedari format gambar bergerak ini memang diminati pengguna perkhidmatan mereka.Namun aneh sekali selepas GIF dimuat naik ia berubah menjadi fail MP4 yang tidak boleh dimuat turun. Alangkah baiknya GIF yang ditemui di susur masa boleh disimpan sebagai GIF juga. Ini memudahkan penggunaannya semula di masa hadapan.

 

 

 

 

 

 


TIPS & ULASAN