Cari @ Amanz

Sony Xperia Z5P_20160211_133716Sony Xperia Z3 ialah peranti yang menerima markah paling tinggi di dalam sejarah ulasan Amanz. Kami memberikan markah yang tinggi pada peranti utama Sony ini kerana ia unik di pasaran pada waktu tersebut. Gabungan kemampuan kamera terbaik, bahan binaan adi premium, rekaan ergonomik, kelancaran sistem operasi, spesifikasi agung, ketahanan hayat bateri yang tinggi dan kalis air. Tidak ada peranti lain di pasaran pada tahun 2014 mampu bersaing dengan Xperia Z3 pada waktu tersebut.

Ia adalah peranti yang kami gunakan setiap hari kerana tiada tolok bandingnya. Dengan Sony Xperia Z5 Dual kami mengharapkan penambaikan kepada “Peranti Terbaik 2014”. Adakah Sony berjaya menambahbaik peranti yang kami rasakan sudahpun sempurna? Jawapan kepada soalan ini adalah seperti di bawah.

Spesifikasi

Sony Xperia Z5 Dual
Skrin 5.2″ IPS LCD FHD (428 ppi)
Pemproses 2.0 x 4 + 1.5 x 4 GHz Snapdragon 810
GPU Adreno 430
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 200 GB)
Kamera Utama 23 Megapixel f/2.0 Exmor RS (4K)
Kamera Depan 5 Megapixel f/2.4
Bateri 2900 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi NanoSIM / 4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2699

Spesifikasi Xperia Z5 sebenarnya tidak banyak beza dengan sebuah Xperia Z3+ .Skrin masih lagi 5.2″ IPS LCD dengan resolusi hanya HD penuh. Paparan adalah tajam dan hidup sungguhpun resolusinya rendah apabila dibandingkan dengan pesaing lain yang menggunakan skrin QHD. Teknologi Triluminos masih lagi digunakan bagi memberikan paparan sebaik televisyen LED keluaran Sony.

Pemproses Snapdragon 810 lapan teras digunakan semula dan begitu juga dengan saiz. Penambaikan dilakukan pada kelengkapan optik dengan kamera utama sebesar 23 Megapixel dan kamera hadapan 5 Megapixel. Sistem penstabilan optikal tidak digunakan sebaliknya bergantung kepada teknologi Steady Shot Sony. Bateri 2900 mAh yang digunakan juga sedikit lebih kecil berbanding yang digunakan pada Xperia Z3+. Tidak salah untuk mengatakan Z5 adalah sebuah Z3+ dengan beberapa penambaikan kecil.

Rekaan

Rekaan aluminium dan kaca diteruskan. Kali ini panel belakang kaca Gorilla digantikan dengan kaca Frosted yang dikatakan turut tahan hentakan. Panel belakang kini mempunyai kemasan lebih kusam dan tidak bersinar seperti model terdahulu. Parameter panel kaca hadapan dan belakang ini dikelilingi oleh kerangka aluminium. Terdapat beberapa masalah yang kami sedari dengan rekaan Z5. Masalah utama ialah ianya tidak lagi bulat sebaliknya mempunyai sisi yang rata. Sisi yang rata diperlukan bagi membolehkan pengimbas cap jari yang besar merangkap butang kuasa diletakkan pada sisi sebelah kanan. Pada sisi yang sama terletak butang suara dan juga kamera. Kita akan kembali kepada rekaan butang kuasa, suara dan kamera selepas ini.

Buat masa ini kami ingin menumpukan perhatian kepada kerangka peranti yang amat tidak selesa dipegang. Panel kaca depan dan belakang yang digunakan tidak pada ketinggian yang sama dengan sisi aluminium. Jari terpaksa melanggar sisi logam yang terbaik sedikit dan ini amat tidak selesa. Pengeluar lain seperti Oppo, Xiaomi dan OnePlus sudah menggunakan rekaan kaca 2.5D pada peranti mereka sejak tahun lalu bagi melancarkan pergerakan dari dari skrin ke sisi peranti. Malahan pada Xperia Z3 permukaan kaca hadapan dan belakang adalah sama tinggi dengan kemasan sisi peranti. Mengapa perubahan yang amat tidak selesa ini dilakukan? Teori kami ialah pengguna peranti berpanel kaca kerap merungut ianya boleh retak dan kotor apabila diletakkan di atas permukaan meja. Dengan menggunakan sisi logam yang lebih tinggi dari panel kaca, ini dapat melindungi panel kaca dari dua masalah yang disebutkan. Tetapi peranti direka untuk ianya dipegang di dalam tangan sepanjang masa dan bukannya diletakkan di atas meja. Oleh itu keputusan Sony menggunakan rekaan ini pada Z5 adalah tidak masuk akal.

 

Seperkara lagi yang tidak masuk akal ialah rekaan butang kuasa dan suara. Rekaan ergonomik OmniBalance yang digunakan sejak Xperia Z digantikan dengan rekaan butang kuasa yang besar dan butang suara yang terletak di bawahnya. Kerana rekaan butang kuasa yang terlalu besar, butang suara terletak terlalu jauh ke bawah sehingga sukar untuk ditekan ketika peranti dipegang. Jari perlu melakukan aksi gimnastik ala Faiznur Miskin bagi mengawal kekuatan bunyi peranti. Butang kuasa yang besar ini juga terlalu sensitif. Kerap kali apabila diletakkan di dalam kocek, peha kami terasa seperti dipanggang. Rupa-rupanya kerana luas permukaan yang besar, butang ini mudah ditekan walaupun di dalam kocek sehingga skrin menyala sepanjang masa. Bosan dengan masalah butang terlalu sensitif ini, kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali memegang peranti di dalam tangan sepanjang masa.

Butang yang besar diperlukan bagi meletakkan pengimbas jari. Sekali lagi masalah rekaan dikesan. Pada peranti lain seperti iPhone 6, Samsung Galaxy S6 dan Huawei Nexus 6P pengguna hanya perlu meletakkan jari pada pengimbas dan peranti boleh dinyahkunci. Butang pengimbas tidak perlu ditekan dengan kuat terlebih dahulu. Pada Xperia Z5 pengguna perlu menekan pengimbas jari, menanti skrin menyala dan kemudian imbasan jari dilakukan. Ini adalah sistem mengimbas jari yang perlahan dan sepatutnya tidak lagi digunakan. Malahan ia kali pertama kami lihat pada Samsung Galaxy S5 dan ianya sudah menerima komen negatif pengguna dua tahun dahulu.

Tidakkah jurureka Sony melakukan kajian sebelum menggunakannya? Jawapan kami mungkin tidak. Sekiranya Xperia Z6 dilancarkan tahun ini, kami sungguh berharap Sony tidak lagi meletakkan pengimbas cap jari pada sisi tetapi sebaliknya meletakkannya pada panel belakang. Ianya lebih ergonomik dan memastikan rekaan OmniBalance yang sudah kekal sempurna boleh dikembalikan.

Pada sisi kiri terdapat slot untuk talam SIM berganda dan slot MikroSD. Talam ini menyokong dua SIM bersaiz Nano. Pada bahagian atas terdapat bicu audio 3.5mm dan pada bahagian bawah terdapat port pengecasan MikroUSB. Kedua-dua port tidak tertutup tetapi peranti masih mengekalkan tahap kalis air serta debu IP68. Kemampuan kalis air ini adalah amat perlu kerana peranti ini terlalu mudah panas ketika digunakan. Ini akan kami bincangkan di perenggan lain di bawah. Akhir sekali dua pembesar suara diletakkan pada panel hadapan untuk memberikan audio stereo.

Penggunaan Dan Antaramuka Peranti

Rekaan fizikal peranti ini mungkin mempunyai pelbagai masalah tetapi rekaan antaramuka dan perisian nampaknya masih sempurna. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Sony tidak lagi menggunakan antaramuka Time Shift rekaan mereka. Sebaliknya antaramuka Android Vanilla hanya diubah sedikit dengan memasukkan fungsi khas Sony. Jika anda sukakan antaramuka minimalis dan sehampir mungkin kepada Vanilla, Xperia Z5 akan memenuhi citarasa anda. Oleh sebab kustomasi yang sedikit, peranti berfungsi dengan pantas dan lancar. Sela masa tidak kami sedari walaupun sekali? Dengan RAM sebesar 3 Gigabyte kami boleh melancarkan 16 aplikasi dan apabila kembali ke aplikasi pertama ia tidak memerlukan muat turun semula. Aplikasi juga mudah ditukar dengan sekelip masa tanpa perlu menunggu.

Sony-Xperia-Z5-UI-1Sony-Xperia-Z5-UI-2

Fungsi tambahan tidak banyak. Skrin boleh dihidupkan dengan melakukan dwi-tap. Fungsi Small Apps kembali membolehkan tetingkap kecil terapung untuk memaparkan kalkulator, Notepad dan perakam audio. Skrin juga boleh dirakam secara terus dengan menekan butang kuasa selama beberapa saat. Kustomasi pula terhad kepada beberapa pilihan yang dimuat turun menggunakan aplikasi Themes. Kerana ini adalah peranti Sony, terdapat banyak pilihan tema berasaskan filem yang dikeluarkan oleh Sony Pictures.

Sony-Xperia-Z5-UI-4

Kamera

Kamera utama sebesar 23 Megapixel f/2.2 dan kamera hadapan pula ialah sebesar 5 Megapixel f/2.4. Sensor terkini Exmor RS digunakan dan ini menurut Sony adalah sensor terbaik untuk peranti mudah alih yang pernah mereka hasilkan. Masih tiada sokongan OIS ataupun pemfokusan laser. Sony percaya teknologi SteadyShot mereka sudah mencukupi. Kamera utama mampu merakam video pada resolusi 4K. Pada resolusi tertinggi 23 Megapixel, gambar diambil pada resolusi 4:3. Untuk resolusi 16:9 resolusi kamera diturunkan ke 20 Megapixel.

Antaramuka pada Z5 mengalami perubahan yang besar. Butang video tidak dipaparkan sekali dengan butang kamera. Untuk melakukan rakaman video pengguna perlu mentatal ke bawah untuk mengaktifkan mod video. Ini adalah tidak mesra pengguna kerana melambatkan proses mengambil video. Kami terlepas mengambil video langkah pertama anak kami kerana kehilangan beberapa saat sebelum mod video dapat diaktifkan. Seperti dahulu beberapa pemalam disediakan oleh Sony. Terdapat pemalam untuk video 4K, kesan khas realiti maya, pemfokusan semula foto dan mengubah wajah menjadi haiwan. Pemalam boleh dimuat turun ataupun dibuang oleh pengguna sekiranya perlu. Kepada yang mahukan kawalan lebih terperinci, mod manual boleh diaktifkan tetapi tiada pula sokongan RAW.

Sony-Xperia-Z5-camera-UI

Sebelum ulasan dilakukan kami ada melaporkan DXOMark meletakkan Xperia Z5 sebagai peranti dengan kemera terbaik. Jadi harapan kami agak menggunung ia dapat menandingi kualiti gambar Samsung Galaxy Note 5 yang kami ulas tahun lalu. Selepas beberapa gambar contoh diambil kami terkejut dengan masalah warna yang tidak dihasilkan dengan baik, pemfokusan yang lambat, kegagalan memfokus objek dekat dan kamera yang perlahan. Apabila gambar diambil pada waktu malam pula masalah dedah berlebihan pada sumber cahaya adan noise pada kawasan gelap jelas kelihatan. Kami mengingatkan kami mempunyai masalah dengan unit yang diulas tetapi selepas bertanya dengan beberapa rakan penulis yang turut menerima unit ulasan masalah ini dialami oleh kami semua.

Berikut adalah contoh gambar yang diambil menggunakan mod auto-intelligent peranti. Anda boleh melihat sendiri kualiti gambar yang kurang memuaskan bagi peranti dengan sensor bersaiz besar keluaran Sony sendiri. Mengejutkan bukan? Jadi pada hemat kami Samsung Galaxy Note 5 kekal sebagai peranti dengan kemampuan mengambil gambar terbaik. Ironi disini ialah Note 5 menggunakan sensor kamera generasi lama yang dihasilkan oleh Sony.

Sony xperia Z5 DSC_0018

Sony xperia Z5 DSC_0117

Sony xperia Z5 DSC_0110

Sony xperia Z5 DSC_0048 Sony xperia Z5 DSC_0031    Sony xperia Z5 DSC_0163

Video

Pepatah Inggeris ada berkata, setiap awan hitam ada kilauan perak. Kualiti gambar statik tidak berapa memuaskan tetapu kualiti videonya amat mengagumkan. Peranti ini tidak mempunyai sistem OIS tetapi ia mengambil video lebih stabil berbanding peranti dengan OIS yang kami uji sebelum ini. Sistem Steady Shot digital yang disertakan mampu memberikan ilusi video diambil menggunakan kamera dilengkapi OIS. Cukup memuaskan.

Penanda Aras

Pemproses lapan teras Snapdragon 810 yang digunakan adalah cukup berkuasa. Dalam ujian penanda aras markah yang dicatatkan hampir setanding dengan Exynos 7420 yang digunakan pada Galaxy S6 Edge+ seperti yang boleh dilihat di bawah. Peranti memang boleh melakukan kesemua tugasan dan melancarkan aplikasi tanpa sebarang masalah. Anda tidak akan merungut tentang kekurangan kuasa memproses dengan Xperia Z5. Anda hanya akan merungut tangan anda kebas kerana peranti menjadi terlalu panas. Suhu yang kami catatkan mencecah 38 darjah Celsius. Kepanasan berlaku walaupun hanya melayari web. Ini adalah tidak masuk akal. Cerita Snapdragon 810 sebagai pemproses yang panas bukalah mitos tetapi realiti.

Sony-Xperia-Z5-Benchies-2

Sony-Xperia-Z5-benchies-1


 

Bateri

Bateri sebesar 2900 mAh yang disertakan adalah 200 mAh lebih kecil berbanding yang digunakan pada Z3. Umum diketahui ketahanan bateri pada Z3 adalah amat baik. Pada penggunaan paling berat ia mampu bertahan hampir 13 jam. Pengurangan saiz bateri memberikan impak kepada ketahanan Z5. Sony menjanjikan ia mampu bertahan selama dua hari tetapi pada penggunaan paling ringan hanya bertahan selama 22 jam. Pengurangan ketahanan bateri ini kami tidak salahkan hanya pada saiz bateri lebih kecil. Seperti yang kami nyatakan di atas, peranti ini terlalu mudah menjadi panas. Ini sudah terbukti menjejaskan hayat bateri LiOn yang sensitif terhadap perubahan suhu.

Pada penggunaan paling intensif peranti bertahan selama 9 jam dengan skrin terpasang selama 5 jam 33 minit. Sekiranya ini bukan sebuah Xperia Z5, hayat bateri ini kami boleh katakan baik. Tetapi model terdahulu menunjukkan kemampuan bateri yang hampir 40% lebih baik. Prestasi bateri Z5 pada hemat kami mengecewakan bagi sebuah peranti Xperia. Tetapi perkara positif yang boleh kami tulis ialah tidak seperti Z3, Z5 menyokong pengecasan pantas. Bateri boleh dicas sehingga penuh dalam masa sekitar 80 minit.


Sony-Xperia-Z5-battey


Pesaing

Sony Xperia Z5 Dual bersaing dengan dua peranti utama Samsung Galaxy S6 dan Nexus 6P. Ketiga-tiga peranti mempunyai kemampuan memproses dan harga yang setanding. Berikut ialah senarai lengkap spesifikasi ketiga-tiga peranti.

Peranti Pesaing
Sony Xperia Z5 Dual Samsung Galaxy S6 Nexus 6P
5.2″ IPS LCD FHD (441 PPI) 5.1″ SAMOLED QHD (577 PPI) 5.7″ SAMOLED QHD (518 PPI)
2.0 x 4 + 1.5 x 4 GHz Snapdragon 810 2.1 x 4 + 1.6 X 4 GHz Exynos 7420 2.0 x 4 + 1.5 x 4 GHz Snapdragon 810
Adreno 430 Mali-T760MP8 Adreno 430
3 Gigabyte 3 Gigabyte 3 Gigabyte
32 Gigabyte (200 GB MikroSD) 32 Gigabyte 64 Gigabyte 
Kamera Utama 23 Megapixel f/2.2 Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9 OIS Kamera Utama 12.3 Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan 5 Ultrapixel f/2.4 Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.9 Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4
2900 (Tidak boleh dibuka) 2550 mAh (Tidak boleh dibuka)
3450 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM  2668 RM 2559 RM 2698

Kesimpulan

Peranti utama yang kami gunakan setiap hari ialah sebuah Xperia Z3. Kami telah menggunakannya lebih dari setahun tanpa sebarang masalah. Jadi adalah normal bagi seorang pengguna untuk mengharapkan model susulan ini membawa pembaharuan dan berfungsi jauh lebih baik dari model lama. Untuk mengatakan kami kecewa dengan Sony Xperia Z5 adalah kurang tepat. Ia lebih menghampiri merasa remuk hati dan sedih kerana harapan yang tinggi tidak dapat dicapai. Sebelum menulis tentang kekecewaan biarkan kami senaraikan apa yang positif tentang peranti ini terlebih dahulu.

Ia berfungsi dengan amat lancar. Tiada perbezaan ketara dari segi kepantasan yang kami sudah biasa lihat pada Z3 kepunyaan kami. Jumlah penambahan pada antaramuka yang minimalis membuatkan Z5 kelihatan seperti sebuah peranti Nexus. Aplikasi dibuka dengan pantas, penukaran aplikasi berlaku sekelip mata dan tiada langsung sela masa. Pengecasan pantas akhirnya disokong dan peranti boleh dicas penuh dalam masa sekitar 80 minit.

Mari bercakap tentang kekecewaan pula. Peranti menjadi terlalu panas (sekitar 38 darjah Celsius apabila diuji menggunakan termometer IR) walaupun hanya skrin terbuka tanpa aplikasi digunakan. Apabila kamera digunakan ia menjadi semakin panas. Adalah tidak masuk akal ianya menjadi panas walaupun pada penggunaan ringan. Ini menjejaskan hayat bateri. Jika Z3 tanpa masalah bertahan hampir 13 jam pada penggunaan berat, Z5 hanya bertahan selama 9 jam sahaja. Ini bukanlah hayat yang teruk bagi peranti biasa tetapi Sony menjanjikan ketahanan bateri yang luar biasa. Sembilan jam tidak jatuh di dalam pengkelasan luar biasa pada pendapat kami.

Sony Xperia Z5 Compact -IMG_7267

Kekecewaan berterusan dengan rekaan tubuh peranti yang tidak selesa dipegang. Sisi yang dahulunya bulat kini bersegi. Pada parameter skrin kini terdapat “pagar” logam kerangka peranti yang menghalang jari dari bergerak dari permukaan skrin ke sisi peranti dengan selesa. Peranti lain di pasaran menggunakan skrin 2.5D sekarang bagi memudahkan transisi skrin ke sisi. Ini boleh dilihat pada OnePlus X, iPhone 6S, Oppo F1, Asus Zenfone dan Xperia Z3 sebelum ini. Mengapa rekaan kaca 2.5D ini tidak diguna pakai. Malahan rekaan skrin yang digunakan sekarang mengingatkan kami kepada rekaan peranti sebelum 2012. Rekaan menjadi semakin teruk berbanding kesempurnaan Z3.

Bagaimana pula dengan kamera? Kualiti video memang diakui terbaik pernah kami lihat. Sistem anti gegaran digital SteadyShot yang disertakan adalah mengagumkan. Kualiti gambar statik pula adalah kurang memuaskan bagi peranti dengan sensor 24 Megapixel. Gambar kelam, masalah noise yang kronik serta penghasilan warna yang tragik. Kualiti gambar semakin teruk selepas memuat turun kemas kini terkini. Ya kemas kini perisian menjadikan kualiti gambar semakin sampah.

Kesimpulannya ialah Sony Xperia Z5 pada hemat kami ialah kekecewaan terbesar tahun 2015 selepas HTC One M9+. Peranti utama dengan harga jualan yang mahal sepatutnya memberikan kepuasan bukannya kemarahan. Kami hanya menggunakan Z5 selama empat hari sebelum mengalah dan menggunakan OnePlus X yang kami rasakan lebih selesa digunakan. OnePlus X dijual pada harga 50% lebih murah! Sukar untuk kami mengesyorkan Z5. Jika anda mahukan peranti Xperia terbaik, belilah Xperia Z3. Harga lebih murah, rekaan lebih kemas dan bateri bertahan jauh lebih lama.

Kelebihan Kekurangan
  • Berfungsi dengan lancar. Kustomasi antaramuka yang sedikit membuatkannya kelihatan seperti Android Vanilla
  • Kualiti pentsabilan video yang terbaik pernah kami lihat pada peranti pintar
  • Kalis air dan debu tetapi port pengecasan MikroUSB kini tidak ditutupi pintu yang harus dibuka.
  • Saiz RAM 3 Gigabyte yang besar memastikan kelancaran peranti.
  • Menyokong pengecasan pantas.
  • Terlalu mudah menjadi panas walaupun tidak menggunakan aplikasi yang memerlukan kuasa memproses yang tinggi.
  • Rekaan tubuh peranti tidak selesa dipegang. Sisi tajam dengan “sempadan” kaca dan logam yang menghalang jari dari bergerak dengan selesa.
  • Kualiti gambar statik indah khabar dari rupa.
  • Hayat bateri tidak sebaik model sebelumnya.
  • Pengimbas cap jari yang tidak responsif jika dibandingkan dengan peranti utama lain.

Skor-Sony-Xperia-Z5

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd