Indonesia Akan Mengarahkan WhatsApp Membuang Emoticon Berunsur LGBT

Indonesia Akan Mengarahkan WhatsApp Membuang Emoticon Berunsur LGBT

Diterbitkan pada Feb 12, 2016 oleh .

Indonesia ialah negara konservatif yang masih belum boleh menerima kewujudan golongan LGBT. Walaupun golongan minoriti ini sudah wujud beratus tahun di seluruh Nusantara, penerimaan terhadap mereka masih lagi di tahap yang rendah. Di Indonesia, seperti di Malaysia perkahwinan sejenis masih belum dibenarkan dan golongan homosexual boleh dipenjarakan kerana orientasi seksual mereka. Semalam aplikasi pemesejan Line membuang emoticon berunsur LGBT dari aplikasi mereka. Emoticon ini sebelum ini boleh dimuat turun oleh pengguna sekiranya perlu. Line membuang emoticon tersebut selepas menerima rungutan dari pengguna yang mengatakan Line tidak menghormati sensitiviti dan budaya Indonesia yang memerangi LGBT.

LBGT-Emotucon

Menyedari hakikat ini pengguna lain turut merungut bahawa emoticon LGBT adalah terbina di dalam setiap aplikasi WhatsApp. Mereka mahu WhatsApp mengikuti langkah Line dan membuangnya dari aplikasi ini di Indonesia. Pegawai perhubungan awam Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Ismail Cawidu dipetik menyebut kementerian mereka akan menghubungi pihak WhatsApp untuk membuang emoticon yang dikatakan tidak menghormati budaya timur Indonesia ini. Beliau risau kewujudan emoticon ini akan menimbulkan keresahan orang awam dan mempengaruhi anak-anak kecil supaya menerima budaya LGBT.

Reaksi dari warga Indonesia adalah bercampur baur. Ada yang mengatakan kerajaan juga perlu mengarahkan Facebook dan Twitter untuk turut membuang emoticon LGBT pada aplikasi mereka. Pada waktu yang sama pengguna yang lebih celik teknologi menerangkan adalah mustahil untuk membuang emoticon LGBT dari papan kekunci kerana ianya terbina mengikut standard yang telah ditetapkan oleh Unicode. Apakah pendapat anda mengenai isu ini? Kami merasakan banyak isu lebih besar yang sepatutnya dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia dari menjadi polis emoticon dunia siber.


TIPS & ULASAN