Seperti pernah kami maklumkan sebelum ini, pihak Google telah mula memaparkan skor dan info berkaitan Liga Perdana Malaysia dan Liga Super Malaysia pada perkhidmatan mereka. Perkara ini sekaligus membawakan sokongan yang lebih kurang sama ke Google Now.
Pada semua peranti Android terkini, sokongan Google Now tersedia yang membolehkan pengguna mengaksesnya dengan menekan butang Home untuk seketika – ataupun menatal pada bahagian kiri hujung skrin pada peranti Nexus.
Di Google Now, pengguna boleh memilih untuk melanggan notifikasi info berkaitan sukan melaluinya, dan memandangkan Google telah menyertakan sokongan info liga tempatan, maka kini pengguna turut boleh membuat langganan ke pada pasukan tempatan melalui langkah berikut:
1. Buka Google Now dengan menekan butang Home untuk seketika.
2. Pada halaman utama Google Now, lihat pada sebarang cards yang dipaparkan. Tekan pada tiga titik bertindih yang hadir dan pilih menu “Customize Google Now”.
3. Seterusnya, pada halaman baru yang dibuka, pilih menu Sports.
4. Tekan pada butang tambah yang dipaparkan dibucu kanan bahagian bawah skrin.
5. Taip nama pasukan anda, dan ia akan dipaparkan dalam cadangan. Tap padanya, dan ia akan ditambah ke paparan Google Now.
Sebaik sahaja selepas ditambah, pengguna akan menerima notifikasi berkaitan dengan perlawanan yang akan berlansung, dan juga skor semasa serta skor akhir perlawanan untuk permainan Liga Super Malaysia dan Liga Perdana Malaysia – bagi pasukan pilihan anda.