Seperti yang kami laporkan beberapa minggu yang lalu jualan tablet sepanjang 2015 mengalami penurunan sekitar 13%. Asus mengalami pengurangan jualan tertinggi hampir 40% diikuti oleh Apple dan Samsung. Kepopularan phablet adalah faktor utama mengapa jualan tablet terjejas teruk. Sungguhpun begitu Samsung nampaknya akan terus menghasilkan tablet karena mereka masih lagi pengeluar tablet kedua terbesar di dunia. Rekaan dan spesifikasi tablet terkini mereka tertiris hari ini. Nama rasmi masih belum diketahui tetapi spekulasi mengatakan ia mungkin Samsung Galaxy Tab E.
Tablet ini dilengkapi skrin 7″ (1280 x 800 pixel), diperkasakan pemproses 1.3GHz, RAM sebesar 1.5 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 8 Gigabyte dengan sokongan MikroSD. Kemampuan optik juga selaras dengan spesifikasi sederhana iaitu kamera utama 5 Megapixel dan kamera hadapan 2 Megapixel. Ia akan menggunakan Android 5.1 dan menggunakan bateri sebesar 4000 mAh. Jelas sekali peranti ini ialah peranti kelas permulaan. Ianya bukan model pengganti kepada Samsung Galaxy Tab S2 yang merupakan antara tablet kegemaran kami sepanjang 2015.