Instagram seperti akaun media sosial lain digunakan oleh jenama untuk tujuan promosi. Bagi golongan artis ia adalah cara untuk mereka lebih hampir dengan peminat dan berkongsi gambar terkini mereka. Ianya juga sudah digunakan oleh usahawan sebagai kedai atas talian. Jelas sekali Instagram telah berevolusi dari tujuan asalnya sebagai platform perkongsian gambar santai. Menyedari kepentingannya sebagai alat untuk perniagaan dan penjenamaan, Instagram kini menyokong log masuk pengesahan dwi-faktor.
Dengan pengesahan dwi-faktor, pengguna perlu memasukkan kod khas yang dihantar ke peranti mudah alih bagi mengesahkan anda memuat masuk secara sah. Ini sekaligus menyelesaikan masalah akaun Instagram digodam dan diambil alih. Insiden akaun digodam ini semakin banyak berlaku. Di Malaysia pelakon Arja Lee mendakwa akaun beliau digodam menyebabkan video beliau bermain bola memakai seluar dalam dimuat naik tanpa kebenaran. Dengan pengesahan dwi-faktor ini alasan “akaun saya digodam” dapat dielakkan dan artis akan terpaksa memikirkan alasan lebih logik apabila melalukan kesalahan media sosial.